Dua Remaja 13 Tahun Ditahan Tendang Motosikal Polis Ketika Rondaan Malam

oleh Qalif Latif|
Dua remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis selepas bertindak berani menendang motosikal anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) hingga menyebabkan seorang anggota polis terjatuh dalam kejadian di Jalan Tengku Ismail, awal pagi Ahad.

URB

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 pagi ketika anggota dari Balai Polis Temerloh menjalankan rondaan beruniform di kawasan tersebut.

Ketika rondaan dijalankan, anggota terbabit ternampak sekumpulan individu berkumpul dipercayai untuk berlumba haram berhampiran sebuah bank. Namun, sebaik didekati, kumpulan tersebut bertempiaran melarikan diri.

Anggota kemudian mengekori sebuah motosikal hitam tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki dua remaja terbabit sambil membunyikan siren dan memberi arahan berhenti, namun suspek enggan mematuhi arahan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, salah seorang suspek kemudian menendang tayar motosikal polis hingga menyebabkan anggota berusia 23 tahun itu terjatuh dan cedera di tangan serta kaki kanan sebelum dikejarkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan.

Polis melancarkan siasatan dan berjaya menahan kedua-dua remaja itu pada jam 2.30 petang hari sama dengan bantuan ahli keluarga. Sebuah motosikal jenis Demak EX 90 warna hitam turut dirampas bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, yang boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan individu tanpa lesen menunggang motosikal, serta Seksyen 39 akta sama yang membolehkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda hingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan.

Mohd Nasyim turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan memastikan mereka tidak keluar lewat malam serta tidak menunggang kenderaan tanpa lesen sah.

Kealpaan ibu bapa boleh membawa padah dan meragut nyawa,” tegasnya.

Sumber: Sinar Harian


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Salah seorang daripada suspek dikesan turun ke landasan di Platform 1 dengan sengaja semata-mata…
Berita Domestik
Menurutnya, keluarganya terganggu dengan aktiviti ‘mat motor’ itu yang tidak mengendahkan…
Berita Domestik
Kata Noor Hisam, aksi berbahaya semua remaja berkenaan dikesan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah…