Grafik baharu itu bukan pelekat biasa tetapi menggunakan pelekat air (water decals - imej dicetak di atas plastik dan boleh dipindah menggunakan air).
Kaedah itu dipilih untuk mendapatkan rekaan grafik yang kemas dan rumit memandangkan temanya adalah seni jalanan.
Grafik itu memenuhi panel badan dan mempunyai hasil setara berus angin (airbrush) dan logo RVE terpampang pada panel sisi belakang.
Walaupun warna kosong Ducati Red sudah cantik, grafik terbaru ini mempunyai tarikan tersendiri dan nampak sesuai untuk habitat di bandar.
Selain grafik yang meriah, penampilan RVE Graffiti Livery Evo juga menyerlah dengan sendi kerangka dan otot komponen mekanikal yang berselirat dan terdedah.
Keluarga Hypermotard dibekalkan enjin 937cc Ducati Testastretta 11° silinder berkembar yang menghasilkan 114 kuasa kuda (hp) pada 9,000 rpm dan tork 96Nm.
Sesuai dengan nama Hypermotard, 80 peratus daya kilas tersedia pada 3,000 rpm.
Siri Hypermotard terdiri daripada 950 standard, 950 SP dan 950 RVE dan dibezakan pada kelengkapan.
Sebagai contoh, Hypermotard 950 SP dibekalkan suspensi Öhlins dengan jarak (travel) dipanjangkan dan rim tempa Marchesini.
Turut dilengkapi Ducati Quick Shift (DQS) Up and Down EVO yang juga ciri standard pada Hypermotard 950 RVE.
Selain itu, pakej standard Hypermotard 950 terdiri daripada ABS Cornering Bosch, Ducati Traction Control (DTC) EVO dan Ducati Wheelie Control (DWC) EVO.
Ada tiga mod tunggangan yang sediakan iaitu Sport, Touring dan Urban.
Di United Kingdom, Ducati Hypermotard RVE ditawarkan daripada 13,395 pound (RM76,384) dan lebih tinggi jika dipasang aksesori rasmi seperti ekzos Termignoni.
Penulis: Muhammad Md Tajudin