Hadir sebagai model touring dengan gabungan ciri superbike, Multistrada V4 RS merupakan satu-satunya model dalam siri Multistrada yang dikuasakan nadi 1,103 cc Desmosedici Stradale.
Nadi sama yang digunakan oleh model Panigale dan Streetfighter yang menjadikan Multistrada V4 RS sebuah jentera unik dalam kategorinya.
Nadi 1,103 cc Desmosedici Stradale pada Multistrada V4 RS menghasilkan kuasa sehingga 180 HP pada 12,250 rpm dan daya kilas 118Nm pada 9,500 rpm.
Sama seperti Panigale V4 SP2 , Multistrada V4 RS juga menampilkan klac kering STM-EVO SBK dari aluminium bilet untuk prestasi Ducati terbaik.
Dari segi penampilan, Multistrada V4 RS hadir dengan liveri Iceberg White bersama warna merah menampilkan grafik yang diinspirasikan dari jentera MotoGP.
Multistrada V4 RS turut dilengkapi pelbagai komponen gentian karbon khusus seperti fender hadapan, pelindung tangan, perisai haba dan paruh yang hadapan yang eksklusif untuk model ini.
Meningkatkan penampilan dan prestasi tunggangan, bahagian ekor teknopolimer dan subframe titanium menyerlahkan ciri tunggangan sporti Multistrada V4 RS sambil menawarkan penjimatan berat sehingga 2.5 kg.
Bagi meningkatkan lagi ciri tunggangan, Multistrada V4 RS hadir dengan pelbagai sistem elektronik seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dan Blind Spot Detection (BSD).
Ciri elektronik lain termasuklah 4 mod tunggangan ( (Full, High, Medium, Low), Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Engine Braking Control dan Ducati Quick Shift (DQS).
Menariknya, Multistrada V4 RS turut menjadi yang pertama dalam sirinya untuk dilengkapi mod Full Power yang memberi kuasa maksimum pada semua gear dengan tindak balas serta-merta dari pendikit.
Untuk pasaran Malaysia, Ducati Multistrada V4 RS ditawarkan pada harga RM285,900 yang kini tersedia di semua pengedar rasmi Ducati seluruh Malaysia.
Baca: Ducati Multistrada V4 RS 2024, gabungan motosikal kembara dan superbike!