Ia dikuasakan oleh nadi Desmosedici Stradale 1,103 cc yang telah dikemaskini dengan beberapa perubahan teknikal, dan kini mampu menghamburkan kuasa setinggi 215.5 hp @ 13,000 rpm dan daya kilas 123.6 Nm @ 9,500 rpm.
Menurut Ducati, 80 peratus daripada tork maksimum boleh dicapai pada putaran enjin bermula serendah 6,000 rpm lagi.

Kedua-dua jentera didatangkan dengan ciri Power Mode dengan empat tetapan iaitu Full, High, Medium dan Low, di mana mod Full merupakan mod tunggangan yang paling ekstrem pernah dilengkapkan pada model Panigale V4 dan V4S.
Ia membolehkan nadi itu tadi menghamburkan potensi penuh yang ada, dengan setiap gear (kecuali gear satu) mengedarkan lengkuk tork yang bebas daripada kawalan elektronik.

Segala info penting boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT berwarna penuh, dengan tambahan ciri paparan yang digelar sebagai 'Track Evo'.
Dibangun berdasarkan cadangan daripada penunggang MotoGP, ia menampilkan susun atur paparan yang lebih mudah dibaca, di mana posisi takometer berada di bahagian atas, diikuti kedudukan gear di bahagian tengah, dan seksyen kanan dengan empat segmen yang diwakili oleh warna yang berbeza - setiap satu memaparkan status spesifik kawalan elektronik yang telah ditetapkan.

Membezakan antara Panigale V4 dan V4S adalah tetapan sistem suspensi, di mana Panigale V4S mendapat komponen kawalan elektronik Ohlins penuh depan, belakang serta peredam stereng, diikuti dengan pemasangan roda aluminium tempa, dan pelana dua tona.
Harga jualan Ducati Panigale V4 bermula dari RM145,900 sementara Panigale V4S pula berharga RM188,900.