Dulu juruteknik pesawat, kini mekanik kereta

oleh SALINA JALIL|
Asri (berbaju merah) bersama pelanggan
"Masa mula-mula hilang kerja dahulu saya memang tertekan tetapi saya tak boleh hanya duduk diam mengenangkan nasib kerana hidup perlu diteruskan".


Demikian luah Muhammad Asri Mohd Anas, 29, yang diberhentikan kerja sebagai juruteknik enjin pesawat di sebuah syarikat di Singapura, Jun tahun lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Beliau yang kini mengusahakan bengkel kereta di Seremban 2, berkata pandemik COVID-19 mengubah kariernya. "Saya terpaksa akur diberhentikan kerana industri terkesan dengan kes COVID-19 selepas empat tahun bekerja di Singapura.

 

"Seramai 170 rakyat negara ini yang bekerja di syarikat itu diberhentikan dan terpaksa memilih haluan kerja baharu. Saya nekad menggunakan wang pampasan kerja dengan membuka bengkel kereta ini," katanya ketika ditemui di Seremban.

 

Muhammad Asri berkata, bagaimanapun beliau terpaksa mencari pengalaman terlebih dahulu dengan bekerja selama dua bulan di sebuah bengkel kereta milik rakannya di Senawang. Beliau yang juga pemegang Diploma Penyelenggaraan Pesawat dari institusi tempatan berkata, membaiki enjin pesawat tidak sama dengan enjin kereta.

 

asri
Tinggal kenangan: Muhammad Asri (tiga dari kanan) bersama rakan-rakan sekerjanya dahulu.

 

"Enjin pesawat lebih rumit kerana sistemnya lebih kompleks dan siapa yang ada kelayakan sahaja boleh membaikinya.

 

"Enjin kereta lebih mudah. Hanya belajar sendiri secara praktikal, kita sudah boleh melakukannya," katanya yang membuka bengkel kereta itu sejak awal bulan lalu.

 

Beliau pernah cuba mencari pekerjaan lain tetapi sukar dalam keadaan ketika ini dan pernah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk dengan syarikat jualan langsung.

 

Katanya, hasil sokongan kedua-dua ibu bapa serta ahli keluarga, beliau berharap pembukaan bengkel kereta itu jalan terbaik meneruskan kepakarannya dalam kejuruteraan.

 

"Pembabitan anak muda Melayu dalam bidang ini masih terbatas berbanding bangsa lain walaupun sektor ini menjanjikan pendapatan yang baik.

 

"Walaupun mencabar dan terpaksa bersaing, saya berharap dapat menimba pengalaman dalam bidang ini dan menjayakan hasrat mewujudkan lebih ramai usahawan muda Melayu," katanya.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
Maka tidak menghairankan apabila garaj rumahnya yang terletak di Kampung Gong Badak, Terengganu…
Berita Domestik
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata,…
Berita Domestik
Bertemakan “Meraikan Mekanik Malaysia”, kempen tahun ini diadakan bagi menghargai dan meningkatkan…