Menurut laporan, masalah ECU tersebut mengakibatkan penjanaan kuasa yang tidak sempurna, dan enjin yang bertindak sebagai generator itu mampu berhenti beroperasi tatkala kenderaan sedang dipandu.
Keadaan ini akan membuatkan lampu amaran check engine akan menyala, seterusnya tahap pecutan kenderaan akan dikurangkan. Rocky Hybrid ini juga tidak akan mampu bergerak jauh kerana pek bateri kehabisan tenaga disebabkan oleh operasi enjin yang terhenti itu tadi.

Sebagai makluman, unit trenkuasa hibrid yang terdapat pada Rocky e-Smart Hybrid ini terdiri daripada motor elektrik berkuasa 106 PS dan 170 Nm, di mana ia memperoleh kuasa secara terus daripada unit penjana, atau lebih tepat lagi enjin WA-VEX 1.2 liter (82 PS/105 Nm).
Prinsip yang digunakan oleh e-Smart Hybrid ini adalah hampir menyamai sistem yang digunakan pada trenkuasa e-Power Nissan, di mana enjin hanya bertindak sebagai penjana kuasa untuk motor elektrik sahaja, dan tidak digunakan untuk menggerakkan roda.
Kempen panggil semula ini turut melibatkan 7,928 unit kembar Rocky, iaitu Toyota Raize Hybrid di mana kesemua unit Raize dan Rocky yang terjejas diproduksikan antara 1 November 2021 hingga 23 Disember 2021.

Untuk pasaran Malaysia, Perodua sendiri telah mengesahkan bahawa mereka sedang menjalankan kajian pasaran berhubung kesesuaian sistem hibrid tersebut untuk dipadankan pada Ativa.