Edit Automotive g11 - projek restomod Porsche 991 997, elemen rekaan unik, 99 unit sahaja

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada pilihan untuk membeli sebuah Porsche 911 serba baharu, ada juga di antara kita yang lebih gemarkan 911 yang telah direstorasi semula.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Anda perlu rasa beruntung kerana dalam dunia ini terdapat beberapa pihak yang memiliki kepakaran dalam projek restomod 911 generasi terdahulu.

Selain daripada nama-nama utama seperti Singer, Gunther Werks dan sebagainya, anda juga boleh mendapatkan khidmat daripada Edit Automotive.
 

G11


Baru-baru ini, mereka mempersembahkan g11, projek restomod berdasarkan Porsche 911 generasi keenam (Porsche 997).

Kenapa model tersebut dipilih? Ini kerana ia merupakan model 911 yang terakhir menawarkan hubungan yang tulen antara pemandu dan juga kereta menerusi sistem stereng mekanikal, sebelum ia digantikan dengan sistem stereng bantuan elektrik pada model generasi berikutnya.
 

g11


Bermula dari 997 versi badan lebar, Edit Automotive turut menala kembali enjin aspirasi natural 3.6 liter atau 3.8 liter flat-six yang mampu menghasilkan kuasa antara 325 hp dan 400 hp.

Setiap satu enjin tersebut dileraikan, di mana komponen yang lusuh telah digantikan baharu, sebelum dipasangkan dengan galas IMS baharu dan pelapik silinder tahan karat.
 

G11


Bahagian luar g11 ini diberikan muka depan dan belakang kustom yang diperbuat daripada gentian karbon, dengan mengambil inspirasi daripada rekaan asal Butzi Porsche di mana unit lampu belakang lebih rapat ke tanah.

Sistem gantungan dinaiktaraf kepada penyerap hentak boleh laras Ohlins, diikuti dengan short shifter, sistem ekzos prestasi tinggi, rim tempa dan sistem brek yang terdiri daripada rotor GT3 dan angkup Brembo.

Pembeli juga boleh mendapatkan opsyen sistem brek seramik karbon, serta pembeza gelincir terhad (LSD).
 

g11


Biarpun dengan azam untuk menawarkankan pengalaman pemanduan analog yang sejati, Edit Automotive telah mengekalkan kemudahan yang tersedia pada 997 termasuklah sistem pendingin hawa, pemanas tempat duduk, serta kawalan cengkaman.

Kos untuk mendapatkan sebuah Edit g11 bermula dari 170,000 euro (RM854,771), tidak termasuk dengan kos penyesuaian untuk warna cat, butiran dalaman, serta pemilihan bahan yang lebih premium.

Hanya 99 unit sahaja Edit g11 yang akan diproduksikan.