Tidak banyak perubahan dari segi teknikal, namun Kawasaki membawakan ciri-ciri baharu untuk keluarga Versys 650, seperti contoh kawalan cengkaman Kawasaki Traction Control yang muncul buat pertama kali untuk model ini, diikuti dengan cermin penghadang angin boleh laras empat cara.
Selain daripada itu, Versys 650 hadir dengan ciri lampu utama LED, skrin TFT berwarna bersaiz 4.3 inci dengan fungsi kecerahan boleh laras, serta sokongan sambungan Bluetooth.
Versys 650 LT 2022 pula dikhususkan untuk mereka yang menggemari tunggangan jarak jauh dengan lebih selesa menggunakan jentera yang lebih praktikal.
Antara ciri unik termasuklah pelindung tangan, outlet USB, cermin penghadang angin yang lebih tinggi, satu set beg saddle KQR 28 liter, pelindung pada enjin, serta pad tangki.
Di Amerika Syarikat, harga jualan Versys 650 bermula dari $8,899 (RM37,629) sementara Versys 650 LT pula bermula dari $9,999 (RM42,281).