19 buah kenderaan milik syarikat yang dipandu oleh pemandu-pemandu syarikat logistik, Berjasa Logistics Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Sin Kung Logistics (KL) Sdn Bhd) dengan sengaja mengelak daripada membayar tol di lebuh raya PLUS sejak beberapa tahun lalu.
Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) telah membuat tuntutan terhadap syarikat tersebut sebelum ini dan keputusan dari Mahkamah Persekutuan adalah berikutan rayuan syarikat Berjaya Logistics Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Julai 2017 yang membenarkan tuntutan PLUS sebanyak RM518,369.27 dengan kos sebanyak RM100,000.00, susulan kegagalan pemandu syarikat tersebut membayar tol di lebuh raya PLUS.
Dalam kenyataan media yang diberikan, PLUS mengingatkan para pengguna di lebuh raya tentang tindakan segelintir pemandu kenderaan yang dengan sengaja mengelak untuk membayar tol akan mengakibatkan tindakan tegas yang boleh diambil.
PLUS juga memohon kerjasama semua syarikat logistik dan pemilik kenderaan berat supaya memandang serius perkara ini dan memantau tindakan pemandu dan/atau pekerja mereka.
PLUS juga telah mengenalpasti beberapa taktik penipuan tol yang digunakan oleh pemandu-pemandu kenderaan berat dan sedang mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.
Pada masa yang sama, PLUS juga berkolaborasi bersama-sama pihak berkuasa yang berkenaan bagi membendung kejadian penipuan pembayaran tol di lebuh raya.
Rumusan yang didapati di sini adalah walaupun tindakan telah diambil dan kes ini mengambil masa lebih dari tiga tahun tetapi pihak PLUS bertindak tegas dan amat serius untuk 'membendung' kegiatan penipuan ini dan syarikat-syarikat logistik perlu memastikan mereka mempunyai para pekerja yang jujur serta amanah.