Syarikat penerbangan itu dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, juruterbang mengambil tindakan sedemikian selepas menerima makluman kokpit bahawa trafik pesawat lain berada dalam keadaan terlalu hampir.
Pesawat Boeing 737 Southwest Airlines itu kemudian meneruskan perjalanan ke Las Vegas, di mana ia mendarat dengan lancar.
Pesawat yang terpaksa dielak itu masih belum dikenal pasti dengan FAA sedang melakukan siasatan lanjut.
Menurut syarikat penerbangan, dua kru mereka dirawat kerana cedera, namun perincian lanjut tidak didedahkan. Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan penumpang.
Bagaimanapun, seorang penumpang, Caitlin Burdi memberitahu Fox News Digital, penurunan mendadak pesawat itu mencetuskan situasi panik.
"Ia sangat menakutkan. Kami benar-benar menyangka perkara buruk akan berlaku.
"Selepas kejadian itu, juruterbang bercakap melalui interkom dan dia memberitahu, pesawat terbabit hampir bertembung dengan pesawat lain," katanya.
Menurut kenyataan dikeluarkan Southwest Airlines, insiden itu bermula apabila anak kapalnya bertindak balas terhadap 'dua amaran lalu lintas' ketika berlepas dari Lapangan Terbang Hollywood Burbank di utara Los Angeles.
Dalam kejadian berasingan seminggu yang lalu, jet SkyWest Airlines yang beroperasi sebagai penerbangan Delta Connection dari Minneapolis melaporkan mengambil tindakan mengelak bagi menghindar kemungkinan perlanggaran dengan pengebom Tentera Udara Amerika Syarikat semasa mendarat di North Dakota.