Electric MOKE Californian, model ikonik kembali ke AS selepas 40 tahun!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Electric MOKE Californian
Electric MOKE Californian
Moke Californian kembali ke Amerika Syarikat selepas 40 tahun. Kereta jenama Moke masih lagi wujud dengan tanda perniagaan dan jenama Moke kini dimiliki oleh MOKE International.

Model yang dibawa ke Amerika Syarikat bukan seperti dahulu, ianya digerakkan nadi elektrik dan diilhamkan dari Mini Moke asal tahun 1964.

Electric MOKE Californian dibuat dengan tangan di Northamptonshire, United Kingdom dan dieksport ke Amerika Syarikat dan menggunakan spesifikasi tinggi seperti Electric Moke Eropah.

Cumanya model Amerika Syarikat membawa nama Californian sebagai penghormatan kepada Moke Californian 1977 yang dijual di sana sebelum pengeluaran dihentikan pada 1982.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Electric MOKE Californian

 

Kemasukan semula ini juga adalah kali pertama versi asli Mini Moke yang asal dijual di Amerika Syarikat dalam tempoh lebih empat dekad.

Satu lagi, model ini sah digunakan di lebuh raya di Amerika Syarikat. 

Berapa kelajuan Electric MOKE Californian? Biasa sahaja iaitu 80 km/j dan dengan cas penuh kereta ini boleh dipandu sejauh 120 kilometer.

Tempoh pengecasan penuh pula memerlukan empat jam menggunakan pengecas US Type 1.

Menyoroti sejarah, Mini Moke direka oleh Sir Alec Issigonis, individu sama yang merekabentuk Mini.

 

Electric MOKE Californian

 

Prototaip Mini Moke dihasilkan oleh British Motor Corporation pada 1959 dengan kod nama The Buckboard. 

Kereta ini asalnya direka sebagai kenderaan ketenteraan ringan yang boleh dijatuhkan menggunakan payung terjun ke kawasan perang.

Selepas itu adalah sejarah dengan Mini Moke menjadi kenderaan serba guna dan gaya hidup.

Electric MOKE Californian digerakkan motor elektrik 44 hp dan berat tidak sampai 800 kilogram.

 

Electric MOKE Californian

 

Kereta pacuan roda belakang ini boleh memecut dari 0-55 km/j dalam masa 4.3 saat dan seperti yang dinyatakan di atas kelajuan maksimum setakat 80 km/j sahaja.

Jarak pemanduan pendek, tidak laju dan tanpa pintu. Itu semua tidak menjadi masalah memandangkan Electric MOKE Californian bukan seperti kereta biasa.

Harga belum didedahkan dan akan dikongsi dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Penulis: Muhammad Md Tajudin