Elon Musk Berpeluang Jadi Trilionair Jika Pakej Saham Tesla Diluluskan

oleh Qalif Latif|
Elon Musk sekali lagi menjadi perhatian apabila Tesla mengemukakan cadangan pakej gaji baharu yang berpotensi menjadikannya manusia pertama di dunia bergelar trilionair. Cadangan itu, yang tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, bakal memberikan Musk ganjaran dalam bentuk saham bernilai ratusan bilion ringgit sekiranya Tesla mencapai sasaran yang sangat tinggi.
JAECOO Q4 MREC Banner Campaign November Starting: 3rd Nov

Pakej Saham Mega

Melalui cadangan tersebut, Musk berpeluang menerima 423.7 juta saham tambahan Tesla, bernilai sekitar RM671 bilion berdasarkan harga pasaran semasa. Namun, saham itu hanya akan diberi sekiranya nilai pasaran Tesla melonjak kepada RM39.7 trilion, jauh lebih tinggi berbanding nilai semasa sekitar RM5.1 trilion dan hampir dua kali ganda nilai pasaran Nvidia, syarikat paling bernilai di dunia ketika ini.

Tesla

Hubungan Dengan xAI

Selain pakej gaji itu, kenyataan proksi Tesla turut menyertakan usul agar syarikat mengambil pegangan dalam xAI, syarikat kecerdasan buatan yang turut dimiliki Musk. xAI baru-baru ini membeli platform media sosial X (dahulu dikenali sebagai Twitter) yang Musk beli pada tahun 2022 dengan harga RM205 bilion. Namun begitu, dokumen tersebut tidak memperincikan jumlah pegangan atau harga pelaburan yang dicadangkan.

X

Kedudukan Kekayaan Musk

Pada masa ini, Musk memiliki 410 juta saham Tesla dengan nilai RM651 bilion. Digabungkan dengan pegangan dalam xAI, SpaceX dan syarikat lain yang diasaskannya, kekayaan Musk dianggarkan RM1.77 trilion menurut penjejak bilionair Bloomberg, sekaligus mengekalkannya sebagai individu terkaya di dunia.

Beliau juga mempunyai opsyen untuk membeli tambahan 304 juta saham Tesla hasil pakej gaji 2018, namun mahkamah Delaware telah membatalkan pakej itu dua kali kerana dianggap tidak sah walaupun telah diluluskan pemegang saham. Tesla kini kembali cuba meluluskan opsyen tersebut, yang jika digabungkan, memberi Musk sekitar 18% pegangan dalam syarikat.

Prestasi Saham Tesla

Saham Tesla pernah melonjak hampir dua kali ganda antara pilihan raya presiden AS dan Disember 2024, dipacu sentimen pelabur bahawa hubungan rapat Musk dengan Presiden Donald Trump akan menguntungkan Tesla. Namun selepas protes, jualan menurun serta hubungan Musk-Trump retak, saham itu merosot semula. Kini, walaupun sudah pulih sebahagian, ia masih 26% lebih rendah berbanding paras puncak Disember lalu.

Trump vs Elon

Susulan berita mengenai cadangan pakej gaji Musk, saham Tesla dilaporkan naik sedikit dalam dagangan pra-pasaran.

Sumber: CNN Business — Elon Musk Tesla new pay package


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Siapa “Feds” Yang Siasat Tesla? Dalam laporan berita AS, perkataan “Feds” merujuk kepada pihak…
Berita Global
Sebaliknya, kesemua 10 unit Tesla Cybertruck itu disumbangkan oleh Ben Horowitz, seorang bilionair…
Berita Global
Musk berkata semasa panggilan pendapatan suku ketiga Tesla bahawa model ini adalah kenderaan yang…