Emira GT4 dilancar di Hethel, khas untuk berlumba, dari RM891k!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lotus Emira GT4
Lotus Emira GT4
Pada September 2021 Lotus memperkenalkan Emira GT4. Kereta yang dibuat khas untuk perlumbaan itu kembali dan kali ini dilancarkan di litar ujian Lotus di Hethel.

Tetamu khas turut diberi peluang untuk duduk melayan litar sambil dipandu Gavan Kershaw yang juga Pengarah Ciri-Ciri Kenderaan Lotus dan bekas pemenang Kejuaraan GT British.

Pada acara yang sama, Lotus turut membawakan model lumba ikonik Type 30. Model itu dikuasakan enjin 4.7 liter V8 Ford dan hanya 33 buah sahaja dikeluarkan.

Type 30 banyak memenangi perlumbaan di antaranya dipandu oleh Jim Clark dan pelumba handalan lain.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Lotus Emira GT4 and Type 30

 

Emira GT4 adalah model pertama Lotus Advanced Performance, bahagian perniagaan yang dilancarkan awal tahun ini dan menfokuskan kepada permotoran dan kenderaan buatan khas.

Bahagian itu juga terlibat dalam Akademi Pemanduan Lotus, lawatan dan program pengalaman jenama Lotus.

Projek Emira GT4 adalah kerjasama di antara Lotus dan RML Group, syarikat permotoran dan kejuruteraan berprestasi tinggi di Northamptonshire, United Kingdom.

Badan Emira GT4 diperbuat daripada komposit dan berat tanpa bendalir hanya 1300 kg.

 

Lotus Emira GT4

 

Memacu kereta lumba ini ialah enjin 3.5 liter V6 2GR-FE dari Toyota yang dipadan bersama transmisi sequential enam kelajuan Xtrac dan LSD. 

Enjin dengan pengecas lampau (supercharge) Harrop TVS 1900 itu berkuasa 400bhp dan menggunakan sistem pengurusan enjin Motec.

Dari segi pengendalian, kereta ini menggunakan set suspensi  boleh laras dua hala Ohlins TTx dan palang anti oleng di depan dan belakang.

 

Lotus Emira GT4

 

Membantu dalam memperlahan dan menghentikan ialah set ABS Motorsport Bosch jenis boleh laras.

Tayar pula dari Pirelli GT4 dengan saiz 265/645x18 di depan dan 305/680x18 untuk belakang yang membaluti roda aluminium forged.

Melindungi pemandu ialah rangka keselamatan enam sudut dengan homologasi FIA, kerusi patuh FIA dan tali pinggang keledar enam sudut yang diluluskan HANS.

Juga dipasangkan ialah sistem pemadam api elektronik dan suis pemisah.

 

Lotus Emira GT4

 

Sejak diperkenalkan pada September lalu, Emira GT4 telah menjalani pelbagai sesi pembangunan termasuk dibawa ke litar Portimão selama seminggu.

Litar di Portugal itu satu daripada litar yang mencabar di Eropah dan lokasi sempurna bagi menguji pretasi aerodinamik dan ketahanan komponen.

Berapakah harga kereta lumba ini? Bermula dari £165,000 (RM891,024) tidak termasuk cukai dan penghantaran.

Kepada yang berminat, pembahagian Emira GT4 untuk tahun pertama pengeluarannya telah pun habis!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lotus Emira GT4