Enam perkara yang anda tidak tahu pasal Honda Integra Type R (DC2)

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada model kereta sports berenjin tengah Honda NSX Type R, serta model hot hatch Honda Civic Type R, Honda juga turut memperkenalkan sebuah lagi ahli keluarga Type R menerusi model Integra DC2.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Honda Integra DC2 Type R diperkenalkan pada tahun 1995, dua tahun selepas pelancaran rasmi model standard yang didatangkan dalam dua versi, iaitu 3 pintu hatchback dan empat pintu sedan.

Namun, untuk versi Type R hanya dikhususkan dalam bentuk badan 3 pintu sahaja.

Ternyata, percaturan Honda menerusi model Integra Type R DC2 ini menjadi apabila ia memberikan impak yang sangat besar terhadap pasaran kereta sports pada ketika itu.

Artikel kali ini kami ingin berkongsi kepada anda enam perkara yang terselindung di sebalik Integra Type R DC2 ini.

 

1. Rekaan lampu bulat yang err.. aneh


Honda mula melancarkan Integra standard pada tahun 1993 dan ia didatangkan dengan rekaan lampu bulat berkembar di kiri dan kanan, atau quad headlamps.

Namun, pasaran Jepun pada ketika itu tidak begitu gemar dengan rekaan lampu yang tidak sporti itu, dan pada pengenalan model facelift, Honda akhirnya menukarkan kepada set lampu yang lebih tajam dan garang.

Honda pula mengambil masa tiga tahun sebelum mengeksport kira-kira 500 unit Integra Type R DC2 ke pasaran Eropah, dan mujur peminat di sana lebih menghargai rekaan lampu bulat yang aneh ini.

 

2. Jenama Honda lebih dikenali selepas pengenalan Integra Type R.


Sebelum Integra Type R DC2 ini menyerang pasaran Eropah, jenama Honda tidak pernah sekali-kali dipandang sebagai sebuah jenama prestasi, walaupun Honda sendiri pernah melibatkan diri sebagai pembekal enjin Formula One untuk pasukan Piquet, Senna dan Mansell penghujung era 1980-an dan awal tahun 1990-an.

Namun, kehadiran jenama Type R itu ternyata memberikan impak yang cukup bermakna kerana ia merupakan model pertama Type R yang meletakkan standard tersendiri yang perlu dipenuhi oleh setiap kereta pantas Honda yang menyusul selepas itu.

 

3. Rekaan ringkas, tapi berfungsi


Jika dibandingkan dengan kereta hot hatch moden yang memerlukan kit badan yang serba agresif, Integra Type R DC2 ini bertindak sebaliknya.

Namun disebalik imej yang sopan itu, jangan salah sangka ia tidak berfungsi, ini kerana pakej aerodinamik yang dilengkapkan dari kilang itu memiliki fungsi yang tersendiri dan bukan sekadar pameran.

Seperti contoh, sayap belakang direka supaya mengurangkan daya angkat sebanyak 30 peratus, manakala lip aero berukir di bawah bumper hadapan mampu mengekalkan kereta dipandu lebih stabil pada kelajuan tinggi.

Honda turut meningkatkan kualiti pengendalian dengan membuat talaan pada casis seperti menambah titik kimpalan dan strut brace aluminium bagi menjadikan casis lebih tegar.

Tidak menghairankan apabila Integra DC2 Type R ini diiktiraf sebagai salah sebuah kereta dengan pengendalian yang terbaik dan mampu memberikan saingan kepada model seperti Skyline GT-R dan WRX STI.

 

4. Ringan


Walaupun dengan penambahan titik kimpalan dan strut brace itu tadi, Honda Integra Type R DC2 ini hanya memiliki berat sekitar 1,140 kilogram sahaja.

Ia mampu dicapai dengan pengurangan berat badan sebanyak 39.97 kg jika dibandingkan dengan model Integra GS-R dengan membuang peralatan seperti bumbung suria, sistem pendingin hawa, kawalan pelayaran dan wiper belakang!

Selain daripada itu, cermin windscreen juga 10 peratus lebih nipis dan diikuti dengan pemasangan set rim 15 inci yang lebih ringan.

 

5. Enjin B18C dengan redline 8,700 rpm


Enjin empat silinder sebaris aspirasi natural B18C yang hadir pada Integra Type R ini mampu menghasilkan 187 kuasa kuda pada putaran enjin 8,000 rpm dan daya kilas 176 Nm pada putaran enjin pada 5,700 rpm.

Disebabkan enjin yang berkuasa ini, Honda amat teliti dalam memasang setiap unit enjin sehinggakan mereka mengehadkan produksi kepada 25 unit sehari demi menjaga kualiti pemasangannya itu.

Mungkin sekali catnya sudah mula terkopek di sana sini, namun nadi B18C ini tentu sekali tahu bila masa ia perlu mengaum dan "VTEC kicked in yo!"

 

6. Kenapa warna Championship White?


Ketika batch pertama Honda Integra Type R tiba di UK, Honda menawarkan pilihan warna yang cukup terhad, sama ada hitam, merah ataupun putih.

Warna putih yang dimaksudkan adalah warna Championship White dan ia telah dipilih sebagai menyambut kejayaan pertama Honda di dalam sukan F1 Mexico GP pada tahun 1965.  

 

Diolah daripada artikel asal di TopGear

 

Honda Integra DC2 Type R yang lebih hensem