Enjin pesawat Delta Airlines terbakar semasa berlepas

oleh Penyumbang Rencana|
Sebuah pesawat Delta Airlines yang membawa hampir 300 penumpang mengalami kebakaran enjin sejurus berlepas dari pintu perlepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando, Florida.

Menurut kenyataan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat jenis Airbus A330 itu dijadualkan berlepas ke Atlanta dan terbakar pada bahagian enjin sekitar jam 11:15 pagi waktu tempatan.

FAA memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan berhubung insiden terbabit.

Kejadian ini yang terbaru dalam siri insiden membabitkan keselamatan penerbangan di Amerika Syarikat, termasuk perlanggaran udara pada 29 Januari lalu antara sebuah jet serantau American Airlines dan helikopter Tentera Darat berhampiran Lapangan Terbang Reagan Washington yang mengorbankan 67 nyawa.

Menurut kenyataan Delta, Penerbangan 1213 membawa 282 penumpang dan 12 anak kapal.

Namun tiada laporan kemalangan jiwa atau kecederaan diterima setakat ini.

Krew pesawat bertindak pantas dengan mengikuti prosedur kecemasan untuk mengosongkan kabin selepas api dilihat keluar dari ekzos salah satu daripada dua enjinnya.

Rakaman video yang dimuat naik pengguna media sosial memaparkan api marak dari bahagian belakang pesawat Airbus berkenaan, selain detik cemas penumpang menyelamatkan diri melalui gelongsor kecemasan.

Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando dalam satu kenyataan media sosial berkata kebakaran berlaku di kawasan ramp dan pasukan penyelamat serta bomba lapangan terbang telah memberi respons segera.

Airbus belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian ini.

Dalam pada itu, Delta memaklumkan pasukan penyelenggaraan akan melakukan pemeriksaan lanjut ke atas pesawat yang terlibat, dan syarikat itu akan menghantar pesawat tambahan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Untuk rekod, pada Mac lalu, sebuah enjin pesawat American Airlines turut terbakar selepas mendarat cemas di Denver, memaksa penumpang keluar melalui sayap pesawat.

Kebakaran berlaku ketika pesawat sedang bergerak menuju ke pintu ketibaan.

 

Reuters

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak lapangan terbang mengesahkan semua penumpang dan anak kapal telah…
Berita Global
Bermula 21 hingga 26 Februari ini, penumpang bertuah boleh menikmati perkhidmatan pemindahan…
Berita Global
  Sekolah lain yang terbabit ialah San Gabriel Elementary, Graham Elementary, Tweedy Elementary,…