Satu binaan terbaru Equipmake ialah casis lantai rendah dalam menjadikan bas dua tingkat emisi sifar lebih efektif dari segi kos dan cekap berbanding sebelum ini.
Casis baharu ini adalah produk susulan selepas nadi kuasa EBus untuk bas setingkat yang telah melalui fasa ujian dalam tempoh 12 bulan lalu dan akan memasuki fasa uji cuba pada tahun depan.
Kesemua nadi kuasa EBus mempunyai dua buah motor elektrik APM200. Motor elektrik keluaran Equipmake itu dilahirkan daripada teknologi F1 dengan setiap satu mempunyai kuasa 220kW dan tork 450Nm. Motor tersebut dipadankan bersama kotak gear dua kelajuan.
Komponen elektrik EBus turut terdiri daripada penyongsang (inverter) Semikron SKAI dan sel bateri lithium-ion generasi terbaru.
Apa yang membuatkan EBus istimewa ialah integrasi dan pengurusan tenaga. Nadikuasa tersebut mempunyai beberapa inovasi pintar yang meningkatkan jarak pemanduan dan mengurangkan kos permulaan.
Dengan mengoptimumkan pemanasan dan penyejukan kenderaan dan memaksimumkan keseluruhan kecekapan tenaga membolehkan bas ini cukup untuk dipandu seharian tanpa perlu pengecasan tambahan.
Melalui kaedah itu, kenderaan tidak perlu terlampau bergantung dengan infrastruktur pengecasan dan boleh mengekalkan fleksibiliti laluan.
Sememangnya dua faktor kritikal dalam penerimaan kenderaan elektrik ialah kemudahan untuk mengecas dan jarak perjalanan.
Untuk operator bas ia bermakna perbelanjaan permulaan dapat diturunkan apabila kecekapan yang terdapat pada platform EBus ini berupaya menggunakan pek bateri lebih kecil yang secara langsung menurunkan kos keseluruhan.
Dari segi kos, Equipmake menjangkakan dalam tempoh lapan hingga sepuluh tahun, platform EBus akan lebih mudah untuk digunakan berbanding versi diesel konvensional.
Bagi mengecas kenderaan, pengguna hanya memerlukan sumber elektrik tiga fasa yang memakan masa sekitar lima jam sahaja untuk pengecasan penuh. Bagi menjimatkan masa, ia turut menyokong pengecasan pantas dan mempunyai pengecas onboard.
Equipmake sekarang ini sudah memasuki fasa ujian terakhir untuk platform bas setingkat EBus. Sesi pembangunan prestasi dan ketahanan di United Kingdom dijangka selesai pada hujung tahun ini.
Sesi uji cuba perkhidmatan pula akan bermula pada suku pertama 2020 oleh pengeluar kenderaan komersi Brazil iaitu Agrale.
Syarikat itu akan melancarkan bas elektrik pertama di Buenos Aires, Argentina pada 2021.
Penulis: Muhammad Md Tajudin