EV marhaen dari China di pameran MME November nanti

oleh HEZERI SAMSURI|
Pameran automotif tahunan, Malaysia Motor Expo (MME) 2022 bakal mempamerkan kenderaan-kenderaan elektrik (EV) terkini di pasaran tempatan, dan juga bakal memperkenalkan barisan EV harga mampu milik dari China.

MME yang dianjurkan oleh Cars, Bikes & Trucks Media Sdn Bhd dibantu oleh agensi di bawah MITI, MARii sebagai rakan strategik.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

Menurut Datuk Phang Ah Tong, Pengerusi MARii, agensi itu sudah terbabit dengan pameran automotif negara lebih dari 10 tahun dan pameran-pameran yang dianjurkan bukan hanya dibarisi oleh model-model terkini dari syarikat pengeluar kenderaan, tetapi hasil kejayaan kerajaan di dalam Polisi Automotif Kebangsaan (NAP) 2020.

"Meningkatkan jumlah jualan kenderaan bukan satu-satunya objektif MARii untuk MME. Ia juga adalah platform yang mampu menerangkan isi-isi NAP kepada rakyat dan bagaimana usaha-usaha itu akan membantu industri automotif dan juga pihak konsumer," ujar Phang.

"Kenderaan Generasi Akan Datang (Next Generation Vehicle) juga termasuk di dalam NAP 2020 dan pameran ini akan membantu pengguna untuk memahami maksud dan juga usaha ke arah itu," tegas beliau lagi.

"MME tahun ini akan turut mempamerkan barisan EV mampu milik dari China dan ini akan membuka mata ramai tentang teknologi tersebut," sambungnya lagi.

 

 

Selain dari kenderaan baharu dan konsep, MME juga akan mempamerkan kenderaan-kenderaan modifikasi dari dalam dan luar negara - contohnya dari Thailand dan Singapura.

"Ini akan menarik minat golongan muda dan pencinta automotif untuk hadir ke MME," terang Yamin Vong, CEO untuk CBT Media.

"Bagi mereka yang mahu membeli kenderaan baharu, syarikat pengeluar akan menawarkan pakej-pakej menarik semasa pameran MME dan kerana ia terletak di bawah satu bumbung, pembeli mudah untuk membuat perbandingan pakej dan juga produk itu sendiri," kata Yamin.

 

 

 

 

Berlangsung dari 11 hingga 13 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pameran MME akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan menggunakan tiga dewan utama bagi menempatkan 90 peratus syarikat-syarikat automotif terbabit.

Antara jenama kenderaan yang bakal ada di MME ialah Proton, Volvo, Perodua, Honda, Ford, Toyota, Peugeot, Mazda, Kia, Subaru, Chery dan sebagainya. Chery dikatakan akan mempamerkan model EVeQ1 (gambar utama) yang dikatakan akan dilancarkan di Malaysia dengan harga di bawah paras RM100,000.

Selain dari pameran EV, teknologi kenderaan terkini, kenderaan terbaharu dan kenderaan kustom, MME juga menawarkan pertandingan sistem audio di ruang parkir luar Pusat Konvensyen itu.

Careta akan berkongsi informasi terbaharu berkaitan pameran penutup tirai 2022 ini dari masa ke semasa.