Menariknya, pembinaan kilang ini akan dibiayai hasil dari penyenaraian saham Eve Energy di Bursa Saham Hong Kong, yang turut melibatkan pinjaman dari institusi kewangan. Pemfailan rasmi telah dihantar ke pihak bursa pada 30 Jun, dengan Citic Securities bertindak sebagai penaja tunggal.
Menurut kenyataan rasmi syarikat:
“Projek ini akan memacu pengembangan perniagaan luar negara kami serta memenuhi permintaan global terhadap sistem penyimpanan tenaga. Pada masa sama, ia akan mengurangkan risiko daripada ketegangan perdagangan antarabangsa yang kian meningkat.”
Walaupun kapasiti pengeluaran belum didedahkan, kilang berkenaan dijangka siap dalam tempoh dua setengah tahun, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Malaysia dan China.
Malaysia Jadi Hab Strategik Bateri China
Ini bukan kali pertama Eve Energy bertapak di Malaysia. Kilang pertama mereka, juga di Kulim, telah mula beroperasi awal tahun ini, menghasilkan bateri silinder untuk alatan kuasa dan e-basikal.
Langkah memperluas pelaburan ke rantau Asia Tenggara dilihat sebagai strategi untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran domestik China, serta memperkukuh kedudukan dalam pasaran global. Data dari SNE Research menunjukkan Eve Energy memegang 2.7% pasaran bateri EV global bagi empat bulan pertama 2025.

Kilang Eve Energy di Kulim, Kedah akan menghasilkan bateri untuk perlatan elektronik, elektrik dan e-bikes
Syarikat ini turut mencatat keuntungan bersih 3.2 bilion yuan pada tahun 2024, meningkat hampir 15% berbanding tahun sebelumnya, meskipun pendapatan keseluruhan sedikit menurun kepada 48.6 bilion yuan.
Persaingan Ketat Pasaran Bateri Global
Eve Energy kini bersaing rapat dengan gergasi bateri China lain seperti CATL yang menguasai lebih 38% pasaran global – dan baru-baru ini meraih lebih AS$5.2 bilion hasil IPO untuk mengembangkan kilang di luar negara.
Majoriti syarikat bateri dari China, termasuk Eve Energy, menggunakan teknologi lithium iron phosphate (LFP) yang dikatakan 30% lebih murah daripada teknologi nickel-cobalt-manganese (NCM), yang lebih biasa digunakan di pasaran luar China.
Menurut Davis Zhang, eksekutif kanan di Suzhou Hazardtex:
“Bateri buatan China kini sangat laris di pasaran global kerana kos pengeluaran yang lebih rendah. Asia Tenggara merupakan pasaran penting untuk mereka tambah kapasiti.”
Penyenaraian Hong Kong: Trend Baharu Syarikat Mobiliti China
Eve Energy kini menyertai lebih sedozen syarikat mobiliti pintar dari China yang memilih Hong Kong sebagai platform pengumpulan dana termasuk nama besar seperti Chery Automobile, Seres Group, dan Pony.ai.
Dengan langkah ini, Eve Energy bukan sahaja memperkukuh posisi global dalam pasaran penyimpanan tenaga dan EV, tetapi juga menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama operasi luar negaranya.
Sumber: South China Morning Post