Antara hasil kerja Everrati termasuklah Porsche 911 (generasi 964) serta Mercedes-Benz SL di mana model-model itu kini menjadi EV sepenuh masa dan dalam masa yang sama mengekalkan bentuk badan ikonik itu.
Kini, syarikat England itu meluaskan lagi penawaran projek penukaran trenkuasa elektrik kepada barisan model Range Rover Classic serta Land Rover Defender.
Sama seperti projek terdahulu, Everrati bukan sekadar mengubah trenkuasa asal kepada motor elektrik, akan tetapi mengembalikan semula keadaan kenderaan seperti asal mengikut standard yang paling tinggi sebelum mengubahsuainya mengikut kehendak pelanggan.
Pakej yang ditawarkan termasuklah motor elektrik AC tiga fasa, kotak gear kelajuan tunggal, pek bateri serta memastikan susun atur komponen-komponen tersebut bagi mencapai pengagihan berat yang ideal.
Menurut Everrati, pemilik juga boleh memasang kembali trenkuasa asal yang mencemarkan alam sekitar itu tanpa memerlukan modifikasi yang besar.
Kos untuk projek restomod dan penukaran trenkuasa elektrik itu bermula dari £185,000 (RM998,483) untuk Land Rover Defender, hingga £230,000 (RM1.24 juta) untuk model Range Rover Classic.
Harus diingat, harga yang disebutkan itu tidak termasuk cukai, atau kos untuk mendapatkan sebuah model penderma.