Exco Perak - Jambatan baharu akan dibina, ganti Jambatan Enggor yang runtuh

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Astro Awani
Sebuah jambatan baharu bakal dibina bagi menggantikan Jambatan Enggor di Karai di Perak yang runtuh akibat rebakan tanah pada Rabu.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan membuat penilaian kos bagi mendapatkan anggaran sebenar jumlah peruntukan yang diperlukan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

Menurutnya ia akan melibatkan penilaian kos bagi membaik pulih tanah di tebing Sungai Enggor yang terjejas selain mahu memastikan jambatan baharu yang bakal dibina itu mematuhi standard keselamatan antarabangsa.

“Kita akan membina jambatan baharu lebih kukuh yang mana kaedah reka bentuknya adalah terkini dan menitikberatkan soal keselamatan.

“Lebih-lebih lagi Sungai Enggor ini agak dalam dan tidak sampai satu meter (kedudukan jambatan) daripada tebing di Sungai Perak itu sendiri.

“Justeru, kita akan melihat kecerunan tebing di Sungai Enggor ini untuk kita perkukuhkan lagi agar ia dapat mengelakkan daripada berlakunya hakisan atau rebakan tanah pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau lokasi Jambatan Enggor yang runtuh akibat rebakan tanah di Karai, dekat sini pada Rabu.

Hadir sama Pengarah JKR Perak, Hamdan Ali.

Sebelum ini, media melaporkan sebahagian struktur jambatan yang menyeberangi Sungai Enggor runtuh akibat rebakan tanah yang dipercayai berpunca daripada arus sungai deras akibat hujan lebat berpanjangan.

Malah kejadian itu telah mengganggu rutin harian 5,000 penduduk yang terpaksa menggunakan laluan alternatif yang jauh selain mengalami masalah gangguan bekalan air.

Sementara itu, Mohamad Nizar berkata laluan jambatan berkenaan ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembinaan jambatan baharu siap sepenuhnya yang dijangka memakan masa antara 15 bulan hingga dua tahun.

Katanya, lencongan jalan dan laluan alternatif telah disediakan kepada penduduk setempat sejauh 5 kilometer (km) yang boleh digunakan kenderaan berat dan ringan.

Justeru jelas beliau pihaknya melihat tiada keperluan bagi membina Jambatan Bailey atau jambatan sementara di laluan berkenaan.

“Tiada keperluan untuk membina jambatan sementara itu kerana kosnya agak tinggi. Selain itu, kita melihat kawasan ini sudah ada laluan alternatif yang boleh digunakan penduduk,” katanya lagi.

 

Astro Awani