Menurutnya, ibu bapa juga akan berdepan dengan kos perbelanjaan tinggi pada Mac ini bersempena pembukaan baharu sesi persekolahan.
"Kita faham mengapa perkara sebegini berlaku kerana ia merupakan sumber hasil kepada pihak berwajib dan Majlis Daerah Rompin juga sedang dalam usaha menaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Rompin.
"Namun adakah pelaksanaan ini wajar dilakukan sekarang? Dengan bebanan yang sedang rakyat tanggung dan rakyat akan berdepan dengan pembukaan sesi persekolahan baharu pada Mac ini.
"Tindakan sebegini akan membebankan rakyat," katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook.
Beliau turut bertanya kepada pihak bertanggungjawab mengenai fasiliti jalan raya di bandar Muadzam Shah dan Rompin yang semakin teruk.
"Adakah pihak berkenaan sedar perkara ini (fasiliti jalan teruk)? Selesaikan dulu masalah infrastruktur, bagi keselesaan kepada rakyat dan kemudian jika anda mahu melaksanakan parkir berbayar ini, ia lebih munasabah berbanding sekarang dengan kemudahan yang teruk," soal beliau.
Ahmad Azlan menegaskan, pelaksanaan parkir berbayar ini wajar ditangguhkan dahulu sehingga perkara-perkara infrastruktur untuk keselesaan warga Muadzam Shah khususnya dan Rompin amnya selesai dibaiki dan ditambah baik.
Tegasnya, kewajaran penangguhan ini juga melihat daripada sudut rakyat akan berdepan dengan pembukaan sesi persekolahan baharu, awal Ramadan dan Syawal yang bakal disambut.
"Jadi tangguh dulu, fikirkan bebanan rakyat dan selesai dahulu permasalahan kemudahan sebelum ia dikuatkuasakan," katanya.