Exora hilang kawalan, bergesel dengan Alza, set tayar belakang tercabut

oleh SALINA JALIL|
Gara-gara bergesel dengan sebuah kenderaan yang hilang kawalan dari arah bertentangan, satu set tayar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza tercabut di lokasi kejadian di Kilometer 1.5, Jalan Tampin-Seremban, di Tampin, malam tadi.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

Dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin kira-kira 9.30 malam itu, kemalangan membabitkan dua buah MPV iaitu Perodua Alza dan juga Proton Exora.

 

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab. Wahab, berdasarkan siasatan awal, Proton Exora yang dipandu seorang pelajar kolej swasta di Kota Damansara datang dari arah Seremban, manakala, Perodua Alza pula dipandu oleh seorang pesara kerajaan berusia 63 tahun dari arah Tampin.

 

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu MPV jenis Proton Exora telah hilang kawalan selepas mengelak binatang yang melintas jalan lalu memasuki laluan bertentangan iaitu laluan pemandu motokar Perodua Alza dan bergesel di bahagian depan sebelah kanan.

 

“Perlanggaran tersebut menyebabkan kenderaan Produa Alza telah berpusing dan satu set tayar belakang motokar itu telah tercabut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

 

Anuwal berkata, pesara dan pelajar berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

 

Bagaimanapun menurutnya, penumpang Proton Exora mengalami pening akibat terhantuk di papan pemuka dan menerima rawatan di Hospital Pantai, Melaka.

 

“Kes telah diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59),” ujar beliau.

 

 

Kosmo