F1: Hamilton dijangka sertai pasukan Ferrari musim depan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Spekulasi masa depan Lewis Hamilton bersama pasukan Mercedes dalam Formula Satu (F1) semakin hangat diperkatakan selepas juara dunia tujuh kali tersebut kini dipancing oleh Ferrari.


Pasukan Ferrari dilaporkan sedang menyediakan tawaran lumayan untuk mendapatkan khidmat Hamilton dan dikatakan pasukan berpangkalan di Maranello, Itali itu sanggup menawarkan kontrak bernilai £40 juta (RM226.2 juta).

 

Menurut laporan, langkah yang dibuat pasukan Ferrari itu bagi mengembalikan semula status mereka sebagai pasukan pencabar dalam saingan F1.

Ketika ini, Pengerusi Ferrari, John Elkann juga dikatakan sudah menghubungi Hamilton berkenaan tawaran tersebut.

Laporan itu menyatakan bahawa Ferrari mahu Hamilton bergandingan dengan Charles Leclerc sekali gus bermakna mereka perlu melepaskan Carlos Sainz daripada kontraknya setahun lebih awal.

Baru-baru ini, ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff mengakui Leclerc berada dalam ‘radarnya’ di tengah-tengah ketidakpastian me­ngenai masa depan Hamilton bersama pasukan itu.

Kontrak Hamilton bersama Mercedes akan tamat pada penghujung musim ini, tetapi pemandu berusia 38 tahun itu masih belum menandatangani kontrak baharu.

 

Agensi