Fakta ringkas Harley-Davidson Sport Glide 2018

oleh HEZERI SAMSURI|

Harley-Davidson telah pun melancarkan lapan model-model 2018 mereka dan kami tahu, ramai yang seperti bertanya, apakah bezanya selain dari lampu-lampu LED yang canggih.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

 

Ada perbezaanya dan kali ini Careta bawakan beberapa fakta yang anda perlu ketahui akan salah satu modelnya, Harley-Davidson Sport Glide 2018.
 

 

1. Ia sebuah "convertible"

Untuk kereta, convertible bermakna kereta yang boleh dibuka bumbungnya.

Untuk motosikal Harley-Davidson, ia menandakan sebuah jentera yang boleh ditukar genre - dan dalam kes Sport Glide ini, ia boleh bertukar dari sebuah mini-dresser kepada sebuah naked dengan membuka panniers dan fairing hadapan dengan cara sangat mudah.

 

2. Ia menggunakan kerangka Softail dan enjin Milwaukee-Eight 107.

Kerangka baharu ini lebih ringan dan 34 peratus lebih kukuh, sesuai dengan enjin baharu yang lebih berkuasa. Ia juga lebih ringkas dan kurang komponen yang dikimpal.

Enjin Milwaukee-Eight baharu ini masih lagi sebuah enjin push-rod, tetapi kini dengan lapan injap dan kadar flow-over yang 50 peratus lebuh tinggi dari enjin lama Twin Cam. 

Untuk Sport Glide, enjin Milwaukee yang digunakan ialah enjin 107, iaitu 1,750 cc.


3. Gaya tunggangan Sport Glide lebih neutral

Walaupun pelananya rendah dan tempat kaki jauh ke depan, posisi menunggang sebenarnya sangat neutral. Hendal masih dalam jangkauan penunggang dan memang selesa untuk perjalanan jauh.

 

4. Fairing dan pannier lebih praktikal untuk perjalanan dekat

Bikini fairing di hadapan itu sebenarnya cukup lebar untuk menghalang angin dan pannier atau beg sisi keras itu, walaupun tidak mampu memuatkan helmet penuh, ia masih mampu memuatkan pakaian dan juga sebuah laptop.
Ini menjadikan ia sesuai untuk perjalanan semalam dua. Dan pannier itu dikunci terus ke motosikal supaya anda tidak runsing akan keselamatan barangan anda.

 

5. Buka fairing dan pannier dan ia menjadi motosikal lain

Di dalam bandar, anda boleh membuka kedua komponen itu dengan sangat mudah dan segera. 

Paling penting, bentuk Sport Glide terus berubah dengan ketiadaan dua komponen tersebut, dan orang mungkin ingat anda mempunyai dua motosikal!

 

6. Sistem gantungan lebih baik

Harley-Davidson menggunakan sistem gantungan Showa untuk model ini.

Ia lebih selesa untuk tunggangan dan walaupun fork hadapan menggunakan fork terbalik (inverted), ia masih fokus ke arah keselesaan.