Farid Idrus: anak Melayu dalam industri automotif Thailand

oleh HEZERI SAMSURI|
Bila kita bercerita tentang Thailand, pastinya kejayaan negara gajah putih itu di dalam industri automotif menjadi topik utama.

Walaupun syarikat Malaysia ada yang sudah menjadi vendor Tier 1 di sana, kejayaan anak watan Malaysia yang memegang jawatan besar di dalam syarikat automotif di Thailand memang tidak pernah saya dengar.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Di dalam sesi lawatan ke kilang Tan Chong Subaru Automotive Thailand (TCSAT) siang tadi, saya difahamkan bahawa kilang itu menggunakan tenaga profesional dari pelbagai negara Asean, termasuk Malaysia.

"Mantap juga Tan Chong. Siap buat kilang kereta berjiwa Asean," kata hati saya. 

 

 

Bangga rasanya kerana Kumpulan Tan Chong bermula di Malaysia pada tahun 1957. Tan Yuet Foh, pengasas Tan Chong bermula dari seorang pemandu teksi di Kuala Lumpur.

Malah, bilik pameran pertama Tan Chong yang menjual Datsun (sekarang Nissan) di Jalan Ipoh yang juga menjadi tapak perniagaan dinasti keluarga itu masih kekal tersergam di tempat yang sama.

Kilang TCSAT ini mungkin menjadi kilang kenderaan yang benar-benar berjiwa Asean tetapi yang lebih mengejutkan saya ialah apabila dipanggil oleh seorang yang berpakaian seragam TCSAT ketika majlis perasmian dilakukan.

 

 

"Hezeri! Hezeri!," jeritnya.

"Eh mamat Thailand mana pula kenal aku ni," kata saya terpinga-pinga.

Pemuda itu kemudian menghulur tangan seraya memberi salam dan memperkenalkan dirinya sebagai Farid.

"Ah, orang Melayu," jawab saya sambil tersenyum. 

Ahmad Farid Idrus, 38 tahun, anak jati Perak yang membesar di Pantai Remis, Perak.

 

 

Bekas anak MARA ini menuntut di MRSM Beseri, Perlis sebelum menyambung pendidikannya di University of Bristol, United Kingdom.

Selepas empat tahun merantau, beliau pulang dengan Sarjana Kejuruteraan dan karier automotif beliau terus bermula.

"Syarikat pertama saya selepas balik dari UK ialah Assembly Services Sdn Bhd (ASSB), anak syarikat UMW," terangnya.

"Saya bertugas dalam Pengurusan Model Baharu. khususnya projek IMV yang membabitkan model Innova dan Fortuner generasi pertama."

Selepas lebih setahun, Farid menerima tawaran yang lebih baik dari sebuah syarikat automotif yang terletak di seberang jalanraya dari ASSB.

 

 

"Saya pindah ke AMIM yang mendapat kontrak untuk menjadi jurutera proses mengecat dalam projek memasang model-model CKD bagi jenama BMW," sambung Farid. 

"Dua tahun saya di AMIM sehingga ia tutup kilang. Saya mendapat tawaran untuk mengikut projek CKD BMW di Kulim tetapi saya tidak mahu berpindah dari Lembah Kelang."

Farid kemudian mengambil tawaran untuk bekerja dengan Sensata Technologies Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat vendor automotif yang arif dalam pembuatan pengesan atau "sensor" automotif.

Beliau berada di Sensata yang terletak di kawasan Subang Indah selama setahun. Kemudiannya, beliau kembali bekerja dengan sebuah syarikat kenderaan.

"Saya pindah ke Mitsubishi Malaysia Motors dan saya diserapkan ke dalam projek CKD untuk Mitsubishi ASX," Farid bercerita.

 

 

Jawatan beliau di Mitsubishi ialah untuk bertanggung-jawab dalam hal-hal kejuruteraan berkaitan dengan projek CKD model crossover itu.

Selama tiga tahun di Mitsubishi, Farid belajar pelbagai selok-belok untuk membuat projek pemasangan kenderaan secara tempatan.

"Saya terbabit bukan hanya dari segi kejuruteraan perkilangannya, tetapi juga dalam pengurusan projek tersebut."

"Macam-macam saya belajar dan macam-macam perangai syarikat tempatan saya lihat. Ada yang membuat saya geleng kepala dengan perangai yang hanya mengharap projek wahyu dari kerajaan sahaja," kongsi Farid.

Farid juga mula belajar selok-belok sebuah syarikat automotif Jepun beroperasi.

"Mereka sangat tertib dan berdisiplin. Ini memudahkan operasi projek kerana segalanya dilakukan menurut SOP yang telah dipersetujui," Farid menambah.

Tiga tahun beliau bersama Mitsubishi dan beliau tidak rasa mahu ke mana-mana.

 

 

Usaha dan kerja keras Farid rupanya diperhatikan dari jauh dan akhirnya Tan Chong International (TCI), syarikat yang didaftarkan di bursa Hong Kong tetapi beribu pejabat di Singapura menjemput beliau untuk "berbincang".

"Saya diberitahu tentang rancangan TCI untuk membina kilang automotif di Thailand, dan saya ditawarkan untuk bekerja dengan mereka," Farid mengimbau sejarah awalnya bersama Kumpulan Tan Chong.

Tawaran yang baik itu dikongsikan Farid bersama isterinya, Herney Sabrina.

"Saya memang tidak mencari kerja baharu tetapi yang membuat saya rasa terharu dan bangga ialah wakil dari TCI itu benar-benar mahukan saya membantu mereka."

"Bukan selalu kita dengar syarikat automotif bukan bumiputra mahukan anak Melayu membantu mereka untuk projek di luar negara, dan projeknya juga menarik."

"Ia seperti satu cabaran kepada saya untuk membuktikan anak Melayu boleh keluar dari negara untuk bekerja di tempat lain," sambungnya.

 

 

Dengan persetujuan isterinya, Farid mengambil peluang itu dan terus berpindah ke Bangkok.

Enam tahun berlalu dan Farid masih setia di kotaraya Bangkok bersama Tan Chong.

"Pada mulanya, saya bekerja di kilang pemasangan TCI di lokasi ini. Kami memasang trak Fuso, Foton dan memasang kerangka bas untuk MAN."

Tiga tahun lalu, baharulah projek kilang pemasangan Subaru ini bermula dan Farid ialah antara individu yang terpenting dalam projek itu.

"Pada masa itu, saya diberi tanggungjawab untuk membantu syarikat pembinaan untuk menyediakan fasiliti di TCSAT," ujar Farid.

 

 

Jawatan Farid sekarang ialah sebagai Pengurus Kanan untuk Bahagian Pemasangan (Senior Manager, Assembly Shop) bagi model Subaru Forester.

Isterinya pulang ke Malaysia selepas kedua anaknya sudah mula bersekolah.

"Sekolah antarabangsa di Thailand memerlukan kos yang sangat tinggi. Saya lebih suka anak-anak saya belajar di Malaysia," kata Farid yang akan pulang ke Shah Alam setiap bulan untuk bersama keluarga.

Farid mendakwa beliau tidak begitu fasih berbahasa Thai tetapi dari apa yang saya lihat, rakan-rakan sekerja Farid dari Thailand tidak mempunyai masalah untuk berbahasa Thai dengannya.

"Makanan halal juga tidak menjadi masalah kerana di kawasan yang saya diami iaitu di kawasan Onnut di tengah-tengah kotaraya Bangkok itu mempunyai banyak restoran milik orang Islam."

 

 

TCSAT juga memberikan Farid sebuah Subaru XV dan seorang pemandu untuk memudahkan kerjanya.

Selama di Thailand, Farid berjumpa dengan ramai rakyat Malaysia, terutama bangsa bukan Melayu yang bekerja di dalam negara itu tetapi bukan dalam bidang automotif. 

"Memang tak ramai orang kita di sini dalam industri automotif" kata Farid sebelum berundur diri.

 

 

Saya terpaksa bersetuju dengan Farid, tetapi saya yakin, ramai anak Melayu mampu untuk bergerak lebih jauh sekiranya mereka menjadi berani seperti Farid untuk keluar dari negara dan merantau.

Kadang-kadang, kita perlu menjadi pendatang kerana dari segi sejarah, memang terbukti mereka yang merantau akan bekerja lebih keras untuk memajukan diri mereka.

Tanpa bantuan, kita sebenarnya akan menjadi lebih kompetitif dan Farid adalah contoh terbaik.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kisah ini dikongsikan oleh Dr. Zulkifli Hussain, seorang kaunselor di mana bekas pelajar Maktab…