Ferrari 296 GT3, reka bentuk garang, V6 turbo untuk perlumbaan!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ferrari 296 GT3
Ferrari 296 GT3
Tahukah anda? Kedua-dua model PHEV Ferrari 296 GTB dan kembar versi buka bumbung 296 GTS sudah pun dilancarkan di negara kita dan masing-masing berharga RM1.2 juta dan RM1.4 juta.

Lebih mengujakan (atau dicemburui kami) apabila penulis Careta, Mohamad Hanif telah pun mengujinya di litar Sepang.

Terbaru Ferrari memperkenalkan 296 GT3 yang dibuat mengikut standard kereta lumba GT3 FIA. Model ini dibangunkan dari 296 GTB dan tanpa nadi elektrik.

Konsep projek ini sebenarnya bermula pada tahun 2020 dan melalui beberapa proses seperti simulasi perkomputeran dinamik bendalir (CFD) dan model simulator.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Ferrari 296 GT3

 

Proses pembangunan terus berjalan dengan ujian dalaman yang menghasilkan bentuk aerodinamik daripada terowong angin, talaan enjin (bench tuning) dan ujian ketegaran casis.

Kereta ini kemudian menjalani ujian ketahanan di atas mesin DYNO 4WD.

Ujian pertama di litar Fiorano pula berlangsung pada 12 April 2022 dan sejak itu Ferrari sudah pun mengujinya dengan jarak ribuan kilometer.

Kereta spesifikasi litar ini kekal dengan enjin F163CE 2.9L V6, GDI Turbo seperti versi jalanan dan tanpa pakej elektrik.

 

Ferrari 296 GT3

 

Kuasa maksimum sekitar 600 hp pada 7,250 rpm dan daya kilas 710 Nm pada 5,500 rpm. Sebagai perbandingan 296 GTB dengan nadi elektrik berkuasa 819 hp dan tork 740 Nm.

Selain itu, kedudukan enjin 296 GT3 dipasang lebih ke depan dan ke bawah berbanding versi jalanan dan menjadikan pusat graviti lebih rendah.

Faktor itu juga menyumbang kepada ketegaran torsi sekitar 10 peratus lebih tinggi berbanding versi litar 488 GT3 sebelum ini.

Jurutera Ferrari turut melihat semula ciri enjin dan komponen supaya bersesuaian dan tahan lasak untuk perlumbaan pecutan dan ketahanan (endurance).

 

Ferrari 296 GT3

 

Satu contoh yang dikongsi ialah pengulangalik (alternator) dipasang pada kotak gear bagi mendapatkan unit yang kompak dan ketegaran selain senang untuk diakes oleh mekanik.

Lagi perbezaan ialah kotak gear 296 GT3 dibangunkan khas untuknya.

Kotak gear ini menggunakan cakera klac tunggal dengan enam gear dan dipasang melintang untuk aerodinamik dan pembahagian berat lebih baik.

Pergerakan klac dibuat secara elektronik (e-clutch) dan boleh dikawal pada stereng berbanding mekanikal dan digerakkan dengan kaki. Penukaran gear juga secara elektrikal.

 

Ferrari 296 GT3

 

Kotak gear diperbuat dari magnesium dengan tangki penangkap minyak dipasang sekali.

Pengecilan komponen dan penggunaan bahan premium menjadikan kotak gear dari Xtrac lebih ringan dan menyumbang kepada prestasi kereta.

Reka bentuk kereta ini terang-terang dibuat untuk perlumbaan dengan segala macam sirip dan komponen. 

Prestasi daya mendap 20 peratus lebih tinggi berbanding model Ferrari GT3 sebelum ini.

 

Ferrari 296 GT3

 

Selain luaran yang menyerlah, bahagian dalam direka semula berdasarkan input pelumba Ferrari dan pelanggan.

Hasilnya membolehkan pelumba dapat menyesuaikan kedudukan pemanduan dengan pantas dan berkesan dan kawalan utama direka supaya mudah dicapai.

Sejumlah butang kawalan dan fungsi dipindahkan ke stereng ala kereta Formula 1.

Kerusi lumba dari Sabelt memberikan ruang pandang optimal sama ada pada waktu siang atau malam.

 

Ferrari 296 GT3

 

Pelumba dengan pelbagai saiz pula boleh membuat penyesuaian melalui pedal dan stereng boleh laras.

Tidak dilupakan sistem penyaman udara dan laluan angin untuk memberikan pengudaraan yang cukup dalam semua keadaan buat pemandu.

Casis 296 GT3 dibuat sepenuhnya daripada aluminium dengan jarak roda 2660 mm dan lebih panjang berbanding versi jalanan.

Reka bentuk suspensi juga berbeza daripada model lumba 488 GT3 sebelum ini dengan kinematik dan struktur khas.

 

Ferrari 296 GT3

 

Lengan suspensi double wishbone depan dan belakang direka bagi memberikan cengkaman maksimum walaupun pada kelajuan tinggi.

Rekaan itu juga dibuat bagi mengurangkan tekanan pada tayar dan memanjangkan hayat, prestasi dan ketahanannya.

Komponen seperti palang anti oleng direka dengan julat pelarasan sebanyak mungkin bagi mendapatkan penalaan terbaik.

Sistem pembrekan turut dipertingkatkan melalui angkup dan cakera baharu dengan saiz 400 mm di depan. 

 

Ferrari 296 GT3

 

Seperkara lagi yang menarik, Rotiform telah membangunkan roda khas untuk kereta ini dengan saiz 18 inci x 12.5 inci di depan dan lebar 13 inci di belakang.

Roda itu dipadan bersama tayar 30/68 di depan dan 31/71 di belakang.

Faktor praktikaliti turut diambil berat oleh Ferrari memandangkan masa begitu berharga di dalam perlumbaan.

Sebagai contoh, perubahan tetapan 296 GT3 lebih mudah dilakukan hasil daripada komponen mekanikal yang lebih senang untuk dicapai dan komponen elastik.

 

Ferrari 296 GT3

 

Bahagian depan dan belakang pula boleh ditukar dalam tempoh sekejap sahaja sekiranya terdapat kerosakan dan pelumba boleh kembali ke litar dengan pantas.

Mahu berlumba di dalam kelas GT3? Berapakah harga kereta ini? 

Ferrari GT3 sebenarnya adalah satu ruang untuk pemilik mengubahsuai kereta mereka atau melihat Ferrari dalam keadaan yang berbeza daripada versi bilik pameran.

Seperti sedia maklum, Ferrari tidak membenarkan pemilik mengubahsuai kereta jalanan sesuka hati.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Ferrari 296 GT3