Ferrari 296 GTB - enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar, sistem hibrid, 818 hp/740 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
24 Jun 2021 merupakan tarikh keramat di mana Ferrari mengembalikan semula peranan enjin enam silinder sebaris di dalam penawaran model-model kereta sportsnya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Enjin enam silinder tersebut kini dimuatkan di dalam model baharu yang dinamakan sebagai Ferrari 296 GTB, di mana nama tersebut merupakan simbol kepada perkara berikut:

  • 29 - sesaran enjin 2.9 liter
  • 6 - bilangan silinder
  • GTB - Gran Turismo Berlinetta

Enjin enam silinder di dalam bentangan V tersebut sebenarnya bersesaran 2,992 cc (3.0 liter) dan ia merupakan V6 pertama yang dipasang pada kereta moden Ferrari semenjak model Ferrari Dino.

 


Dari segi kuasa, enjin V6 turbo berkembar ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 654 hp, dan dibantu dengan motor elektrik pada gandar belakang (164 hp) yang membolehkan Ferrari 296 GTB ini menghamburkan kuasa setinggi 818 hp dan 740 Nm.

Jauh lebih berkuasa berbanding Ferrari F8 Tributo (710 hp)...

Enjin tersebut merupakan unit pertama yang dipasangkan pengecas turbo IHI ditengah-tengah konfigurasi V dan mampu menawarkan titik graviti yang lebih rendah, sementara pembangunan kebuk pembakaran pula dipinjamkan daripada abangnya SF90 Stradale.

Dengan bantuan motor elektrik, Ferrari 296 GTB ini mampu memecut sepantas 2.9 saat dari 0-100 km/j, pecutan ke 200 km/j pula memakan masa 7.3 saat sementara kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 330 km/j.

 


Sebagai perbandingan, McLaren Artura (juga datang dengan enjin V6 hibrid) memiliki kuasa setinggi 671 hp/720 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa tiga saat dan kelajuan tertinggi yang hampir serupa dengan 296 GTB.

Sama seperti SF90 Stradale, Ferrari 296 GTB ini didatangkan dengan transmisi klac berkembar lapan nisbah kelajuan.

Pek bateri pula adalah berkapasiti 7.45 kWh yang membolehkan pergerakan sifar emisi sejauh 25 km sahaja.

Disebabkan penambahan unit trenkuasa hibrid, berat kering Ferrari 296 GTB ini hanyalah sekitar 1,470 kg walaupun setelah ditambah dengan pakej pengendalian opsyen Asetto Fiorano.

 


Ini kerana pakej tersebut mengutamakan bahan-bahan ringan seperti gentian karbon dan tingkap belakang Lexan, rim gentian karbon yang dibaluti tayar Michelin Sport Cup 2 serta layangan liveri khas yang memberikan penghormatan kepada jentera lumba 250 Le Mans.

Rekaan luaran Ferrari 296 GTB ini merupakan satu gandingan yang sempurna antara kesederhanaan dan fungsi, sama seperti jentera 250 LM.

Ia menampilkan spoiler belakang aktif yang mengingatkan kita kepada model LaFerrari, sementara rekaan cermin windscreen hadapan pula menyerupai model-model edisi terhad seperti J50.

 


Kemasan ruang kabin pula banyak dipinjamkan daripada model SF90 Stradale yang terdiri daripada skrin digital utama di belakang stereng, serta skrin paparan kecil untuk kegunaan penumpang sebelah.

Berkemungkinan konfigurasi enjin hibrid yang sama bakal ditawarkan pada model-model Ferrari akan datang, termasuklah SUV Ferrari Purosangue 2022 yang bakal muncul dalam masa beberapa bulan lagi.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ferrari telah memanggil semula model terlibat kerana ia mendapati bahawa kemungkinan kebocoran…
Telah Diuji
Ini kerana, ini merupakan kali pertama penulis diberikan peluang untuk melenjan sebuah supercar…
Pelancaran
Secara asasnya, Ferrari 296 GTS membawakan spesifikasi yang hampir sama dengan model 296 GTB, di…