Supercar terbaharu ini diposisikan di bawah model F8 Tributo namun kedudukannya lebih tinggi berbanding model drop-top Portofino.
Rekaan luaran Ferrari Roma jika sekali imbas, langsung tidak menyamai mana-mana model kontemporari Ferrari, di mana ia diinspirasikan daripada rekaan kereta Itali era 50-an dan 60-an.
Dari hadapan, reka bentuk hidung yang amat rendah diimbangkan dengan dimensi bonet yang sangat panjang, serta penampilan rekaan gril serta set lampu utama dan lampu nyalaan siang LED yang sangat tipis.
Hasil kerja badan juga menampilkan garis bahu yang amat prominen di bahagian ruang gandar belakang serta reka letak pemegang pintu yang tertanam dengan kemas.
Dari segi penawaran kuasa, enjin V8 3.9 liter turbo itu dikatakan mampu menghamburkan setinggi 612 hp dengan daya kilas tertinggi 760 Nm yang masuk penuh antara putaran enjin 3,000 rpm sehingga 5,750 rpm.
Segala kuasa yang dihasilkan akan disalurkan kepada gandar belakang menerusi transmisi klac berkembar automatik lapan nisbah kelajuan yang sama digunakan pada model plug-in hybrid SF90 Stradale.