Ferrari Roma binaan khas sempena ulang tahun ke-30 jenama Prancing Horse di China

oleh Mohamad Hanif|
Jenama Prancing Horse sedang menyambut ulang tahun yang ke-30 di Tanah Besar China.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Bersempena dengan detik bersejarah itu, Ferrari telah menghasilkan sebuah Ferrari Roma binaan sekali (one-off) menerusi program penyesuaian dan pemperibadian Tailor Made.
 

Roma


Ferrari bekerjasama dengan pereka China terkenal, Jiang Qiong'er untuk menghasilkan rekaan yang diinspirasikan daripada estetika dan seni pertukangan tradisional China.

Ferrari Roma yang ditampilkan ini dilayangkan dengan dua warna kontras, iaitu Sanusilver Matte serta jalur Rosso Magma Glossy yang memberikan penghormatan kepada warna merah carmine tradisional China.
 

Roma


Sementara jalur-jalur yang terdapat pada bahagian badan dan ruang kabin pula diinspirasikan daripada ciri unik yang terdapat pada perabot klasik Dinasti Ming.

Selain itu, Ferrari Roma edisi khas itu turut menampilkan kemasan gentian karbon, tempat simpanan kunci yang dicat dengan lakuer Boluo berbintik merah dan emas, serta plat emas dengan aksara Cina '30' bertatahkan jed.
 

Roma


Tidak cukup dengan itu, pemilik Roma edisi khas ini turut mendapat pakej gaya hidup eksklusif yang direka sendiri oleh Jiang Qiong'er, terdiri daripada set penyebar aroma dengan empat bauan (satu untuk setiap musim yang diperbuat daripada kayu hitam dan kristal), set perkakasan teh, kotak cerut, layang-layang kertas Xuan, selimut cashmere dan set permainan dam Cina yang diperbuat daripada batu akik dan kulit.

Kesemua 'hadiah' yang disenaraikan itu tadi disimpan dengan baik di dalam tempat penyimpanan seperti glove box, tempat rehat lengan dan juga but.