Sekarang tidak perlu pergi ke Petaling Jaya untuk melihat atau membeli model-model terbaharu Ferrari.
Naza Italia - pengimport dan pengedar utama jenama Ferrari di Malaysia - malam semalam dengan rasminya telah membuka bilik pameran dan jualan Ferrari kedua dan yang pertama di Kuala Lumpur.
Peminat jenama Ferrari boleh berkunjung ke Ferrari Showroom di Platinum Park, yang terletak berdekatan dengan menara KLCC.
Sesuai dengan jenama Ferrari, Platinum Park adalah antara lokasi-lokasi amat berprestij di tengah bandar KL.
Bilik pameran yang dibina dengan kos RM2.8 juta itu terletak pada tingkat bawah menara Tower 1, dan ia menampilkan ruang seluas 3115 kaki persegi.
Ia mampu memuatkan tiga lantai pameran model-model Ferrari, sebuah bilik lounge untuk pelanggan dan juga sebuah bilik tempahan khas.
Ferrari Showroom ini dibuka setiap hari kecuali hari Ahad. Ia dibuka dari 9 pagi ke 6 petang dari Isnin ke Jumaat dan 10 pagi ke 4 petang pada hari Sabtu.