Firas berusia dua tahun mewakili negara di Strider Cup 2023

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Harian Metro
Umur Mohammad Firas Amsyar Mohammad Amirul baru dua tahun namun kebolehannya bermain basikal imbang atau basikal tanpa kayuh (pushbike) luar biasa.


Buktinya, Mohammad Firas Amsyar akan mewakili negara dalam kejohanan pushbike dunia, Strider Cup 2023 pada 27 dan 28 Mei depan di Osaka, Jepun.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Di sebaliknya pencapaian itu, bapanya, Mohammad Amirul Mohammed Ali, 32, yang banyak memberi galakan hingga Mohammad Firas Amsyar sampai ke tahap ini.

Bercerita lanjut, Mohammad Amirul yang menetap di Taman Universiti, Skudai, di sini berkata, dia menyedari kebolehan Mohammad Firas Amsyar sejak Julai 2022 iaitu selepas anaknya turut serta buat julung kalinya dalam satu kejohanan pushbike.

"Ketika itu, rakan saya pinjamkan pushbike dan minta Firas (nama panggilan) cuba sertai kejohanan itu.

"Jadi, saya pun minta Firas cuba dan tak sangka dia dapat sampai ke peringkat separuh akhir.

"Selangkah lagi Firas nak sampai ke peringkat akhir dan melihat potensinya itu yang mendorong saya mencungkil bakatnya memandangkan saya juga adalah bekas atlet berbasikal Johor, jadi teruja apabila anak ikut jejak langkah sama," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohammad Amirul berkata, pada awalnya, dia melatih anaknya itu bermain pushbike tanpa mendapat bimbingan daripada jurulatih profesional.

Selepas banyak memenangi kejohanan, Mohammad Firas Amsyar menerima tawaran bimbingan dan kini bernaung sebagai pemain di bawah kelab pushbike Jb Rocket sejak akhir tahun lalu.

"Sejak itu, Firas mendapat bimbingan jurulatih dengan kelas diadakan pada setiap Isnin, Selasa dan Jumaat.

"Selain bimbingan latihan, kesihatan dan pemakanan Firas juga dipantau bagi memastikan dia dalam keadaan yang baik.

"Ikutkan, isteri yang paling risau apabila ketika mula Firas mahu aktif dalam sukan pushbike namun kini dia faham dan menyokong minat Firas.

"Saya akan memastikan Firas terus berlatih supaya kesihatan dan kebolehan dia berada di tahap yang baik dan maksimum sebelum kejohanan.

"Jatuh itu boleh dikatakan perkara biasa dan tiada kecederaan serius setakat ini kerana saya sentiasa pastikan dia menggunakan alat pelindung keselamatan pada kaki, tangan dan topi keledar selain berlatih di trek dikhaskan," katanya yang juga mekanik basikal dan pernah membantu pasukan berbasikal Johor dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma).

gambar dari Harian Metro

 

Berhubung persediaan untuk ke Jepun, Mohammad Amirul berkata, latihan intensif dilakukan sejak dua bulan lalu iaitu pada sebelah pagi, petang dan malam.

"Latihan persendirian pada 5.30 petang hingga 7 malam manakala bersama pasukan jam 8.30 hingga 10 malam pada Isnin, Selasa dan Jumaat.

"Waktu rehatnya adalah pada Jumaat dan saya akan pastikan Firas tidur awal untuk kecergasannya pada hari berikutnya," katanya.

Selain persediaan mental dan fizikal, Mohammad Amirul juga dalam usaha untuk mengumpul dana bagi menampung perbelanjaannya dan Mohammad Firas Amsyar ke Osaka, Jepun akhir bulan ini.

Lantaran itu, Mohammad Amirul melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan bagi menambah pendapatan walaupun ada kerja tetap sebagai pembantu penguat kuasa di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

"Dana diperlukan untuk kami berdua adalah sebanyak RM9,000 dan ia merangkumi kos tiket, makanan dan penginapan.

"Setakat ini, saya sudah menerima sumbangan daripada pejabat Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman dan Pengurus Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Fadzilin Abdul Rasyid selain tajaan pakaian sebuah syarikat.

"Saya juga ada memohon sumbangan daripada beberapa syarikat swasta namun belum dapat maklum balas dan berharap ada mana-mana syarikat membantu atlet cilik memandangkan pushbike satu-satunya sukan yang dipertandingkan seawal usia dua tahun," katanya yang mahu melihat anaknya mengharumkan nama di persada antarabangsa.

 

- Syabas dan tahniah. Semoga mendapat sumbangan dari syarikat-syarikat besar di luar sana -

Harian Metro