Tambah MAG, perkhidmatan pesawat turboprop Firefly akan terus beroperasi dari SZB seperti biasa.
“Firefly akan memulakan perkhidmatan jet dari KLIA mulai 19 Ogos ini dengan penerbangan pertamanya ke Tawau, diikuti dengan pelancaran berperingkat ke destinasi domestik dan serantau utama.
“Penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu akan bermula pada (21 Ogos); Singapura (22 Ogos); Johor (23 Ogos); Kota Bharu dan Terengganu (30 Ogos) dan Sibu pada 3 September,” kata MAG dalam satu kenyataan pada Rabu.
Syarikat penerbangan itu juga akan menambah perkhidmatan sedia ada dari KLIA ke Pulau Pinang daripada dua kali seminggu kepada enam kali seminggu mulai 23 Ogos depan dan menaikkannya kepada 10 kali seminggu pada November 2025.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata penumpang yang terjejas akibat perubahan itu akan dihubungi terus dengan pilihan untuk pengaturan perjalanan alternatif atau bayaran balik penuh disediakan seiring dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016.
Perpindahan ke KLIA membolehkan Firefly menambah baik operasi jet dengan lebih cekap, meningkatkan ketersambungan penumpang dan memanfaatkan keupayaan bersama MAG dalam kejuruteraan, pengendalian darat dan katering dengan lebih baik.