Ford daftar paten nama 'SKYLINE' di US

oleh Mohamad Hanif|
Bila sebut pasal Skyline, semua orang tahu ia berasal dari Nissan walaupun pada ketika ini Skyline sudah pun lama dipisahkan daripada lencana GT-R dan terdapat ura-ura model sedan tersebut menunggu masa untuk dihentikan produksi disebabkan permintaan yang semakin merudum.
JAECOO Q4 MREC Banner Campaign November Starting: 3rd Nov

Namun nun jauh di Amerika Syarikat, Ford diberitakan telah mendaftarkan paten nama "SKYLINE" di pejabat US Patent and Trademark Office bertarikh 12 Julai 2021.

Menurut laporan daripada Ford Authority, tanda dagang SKYLINE dengan nombor siri 90823372 itu didaftarkan di bawah kategori "kenderaan bermotor seperti SUV, trak dan automobil" namun pada ketika ini hanya Ford sahaja yang tahu tujuan nama tersebut bakal digunakan kelak.

Lebih menarik lagi, Ford sebelum ini tidak pernah menggunakan nama Skyline, sebaliknya mereka pernah menggunakan nama Skyliner untuk model-model seperti Ford Crestline Skyliner 1954, Ford Fairlane Crown Victoria Skyliner (1955-1956), Ford Fairlane 500 Skyliner (1957-1959), dan Ford Galaxie Skyliner (1959) sebelum nama Skyliner itu digunakan kembali untuk model konsep Ford Transit Skyliner 2015.

Sebagai perbandingan, nama Skyline telah digunakan oleh Prince Motor sebelum ia bergabung dengan Nissan pada tahun 1967.

Sehingga kini, Nissan Skyline mempunyai 13 generasi sedan yang telah dihasilkan, termasuklah model-model pantas Skyline GT-R (R31, R32, R33, R34) dan sebuah model SUV Skyline Crossover yang dihasilkan pada tahun 2009.

Sumber: Ford Authority

Berita Berkenaan

Berita Global
Dominasi EV China Farley menegaskan bahawa syarikat seperti BYD, Geely, Nio dan Xiaomi membuktikan…
Berita Global
Ini merupakan pemberhentian pertama yang melibatkan pengeluaran kenderaan sejak kilang itu diubah…
Berita Global
Salah satu elemen paling ketara dalam FX Package ialah kemasan warna unik termasuk warna…