E-Transit Custom 2023 direka untuk menggantikan peranan yang ditinggalkan oleh Transit Custom, dengan penawaran trenkuasa elektrik yang mampu menawarkan jarak sehingga 380 km untuk sekali cas penuh.
Dari segi rupa luaran, ia masih lagi mengekalkan rekaan berpetak tipikal van komersial satu tan, namun dengan ekspresi muka yang lebih beremosi, terima kasih kepada rekaan lampu LED yang dihubungkan dengan bar LED, diikuti dengan rekaan gril seakan bukaan mulut haiwan dan slot pengecasan pada bahagian bawah lampu utama.
Bahagian belakang pula menampilkan unit lampu LED dengan grafik berbentuk X, diikuti dengan bukaan pintu berkembar.
Spesifikasi seperti output kuasa tidak didedahkan secara rasmi, namun menurut Ford, E-Transit Custom ini mampu menyokong sistem pengecasan pantas DC, selain berkeupayaan untuk menunda muatan.
E-Transit Custom juga turut hadir dengan teknologi ProPower Onboard yang sama seperti model F-150 Lightning yang membolehkan van ini bertindak sebagai penjana kuasa untuk peralatan elektrik, perkakasan dan peralatan pertukangan di lokasi kerja.
Ford dijangka mendedahkan lebih banyak butiran terperinci berkenaan E-Transit Custom pada September ini, sementara produksi pula akan bermula di Turki menjelang separuh kedua tahun 2023.