Ford Everest 2022 rasmi dilancarkan, tiga varian, dari RM263,888

oleh Mohamad Hanif|
Sime Darby Auto ConneXion hari ini secara rasmi melancarkan generasi baharu SUV Ford Everest 2022 sebagai pelengkap kepada penawaran trak pikap Ranger generasi baharu di Malaysia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ia menggabungkan kemampuan pengembaraan dengan keselesaan yang optimum, selain spesifikasi yang menjadikannya salah sebuah SUV yang paling canggih di dalam pasaran.

Berbanding generasi terdahulu, para jurutera telah memanjangkan jarak antara roda (wheelbase) sebanyak 50 mm pada model baharu ini, memberikan kawalan atas jalan dan pengendalian off-road yang lebih baik.
 

Everest


Sudut kelegaan hadapan dan belakang juga turut diperbaiki, selain jarak trek roda hadapan yang lebih panjang menyumbang kepada penampilan yang lebih gagah.

Dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm, Everest baharu ini mampu meredah air sedalam 800 mm.

Rekaan luar diserikan dengan unit lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang DRL berbentuk C mengikut rekaan yang terdapat pada model Ranger (dan Maverick), sementara varian Titanium pula dilengkapi dengan teknologi lampu LED Matrix serta lampu tinggi anti-silau.
 

Everest


Secara standard, kesemua varian Everest didatangkan dengan lampu kabus LED, serta lampu brek LED manakala rekaan rim pula boleh didapati bermula dari saiz 18, 19 atau 20 inci.

Ford Everest 2022 mempunyai konfigurasi tiga baris tempat duduk, dengan ruang kargo yang mampu memuatkan barangan bermula 239 liter sehingga 1,823 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata.
 

Everest


Antara kelengkapan moden yang dimuatkan termasuklah skrin sentuh menegak 12.0 inci dengan sistem operasi SYNC4 (skrin 10.1 inci untuk dua varian rendah), sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, panel instrumen 12 inci, slot pengecasan tanpa wayar, brek parkir elektronik, sementara varian Titanium pula mendapat ciri e-Shifter serta kamera keliling 360 darjah.

Dari segi kuasa, Ford Everest varian Sport boleh didapati dengan pilihan enjin 2.0 liter turbo tunggal dengan sistem transmisi automatik enam kelajuan, kuasa setinggi 170 PS @ 3,500 rpm dan daya kilas 405 Nm @ 1,750-2,000 rpm, dibantu dengan empat mod pemanduan (Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery).
 

Eve


Sementara varian Trend dan Titanium pula dikuasakan oleh nadi 2.0L bi-turbo yang dipadankan dengan transmisi automatik 10 nisbah kelajuan, menghasilkan 210 PS @ 3,500 rpm dan 500 Nm @ 1,750-2,000 rpm, sistem 4x4 elektronik sepenuh masa dengan ciri shift-on-the-fly (ESOF), e-Locking Rear Differential dan enam mod pemanduan (tambahan mod Mud/Ruts dan Sands).

Aspek keselamatan menjadi keutamaan di dalam pembangunan Ford Everest, dengan kelengkapan standard seperti ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, bantuan mula mendaki, sistem pengelakan kenderaan terbalik, kawalan beban adaptif, kawalan pelayaran adaptif, bantuan belokan, serta tidak ketinggalan tujuh beg udara.
 

eve


Untuk varian Titanium, ia mendapat tambahan ciri seperti sistem informasi titik buta, amaran dan bantuan penukaran lorong, kawalan pelayaran adaptif, Active Park Assist 2.0, bantuan stereng evasif, bantuan brek undur, amaran lintasan trafik belakang, brek pra-pelanggaran dan brek kecemasan autonomi.

Terdapat beberapa pilihan warna untuk Ford Everest 2022 termasuklah Absolute Black, Aluminium Metallic, Artic White, Equinox Bronze, Lightning Blue, Meteor Grey, dan Sedona Orange.

Harga jualan Ford Everest 2022 bermula dari RM263,888 untuk varian Sport 4x2, RM281,888 untuk varian Trend 4x4, dan RM306,888 untuk varian tertinggi Titanium 4x4 dan didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 km yang mana terdahulu, serta lanjutan jaminan selama dua tahun/60,000 km yang turut ditawarkan.

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Lokasi tersebut dipilih khusus untuk menyerlahkan keupayaan model itu mengharungi laluan mencabar…
Berita Global
  Wanita tersebut membeli kereta dengan wang pendahuluan sebanyak 1.48 juta baht (RM180,650) pada…
Berita Global
Tidak seperti model Ranger, Ford Everest 2023 hanya akan ditawarkan dengan penawaran enjin diesel…