Ford Explorer elektrik, guna platform MEB VW, untuk pengguna Eropah!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ford Explorer Electric 2023
Ford Explorer Electric 2023
Ford mempunyai dua buah model elektrik di Amerika Syarikat (AS) iaitu pikap besar F-150 Lightning dan Mustang Mach-E.

Tidak seperti pengeluar lain yang mempunyai siri elektrik khusus, Ford menggunakan nama sedia ada yang popular dan ikonik seperti dua model tersebut.

Terbaru Ford memperkenalkan crossover Explorer dengan kuasa elektrik. Ini bukan Explorer AS yang dipasang motor elektrik tetapi sebuah model baharu untuk Eropah.

Explorer mempunyai sejarah panjang dan diperkenalkan pada 1991 dan kini berada di dalam generasi kelima.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Ford Explorer Electric 2023

 

Strategi terbaru menyaksikan nama Explorer dibawa ke Eropah dalam saiz crossover sederhana dan menggunakan nadi elektrik.

Satu perkara menarik ialah Ford akan memperkenalkan sebuah lagi Explorer elektrik untuk AS dan mempunyai tiga baris tempat duduk.

Explorer untuk Eropah bukan dijenamakan dari Mustang Mach-E tetapi direkayasa dan dikeluarkan di Jerman. 

Explorer adalah hasil kerjasama Ford dan Volkswagen dan menggunakan platform MEB dan khabarnya berkongsi dengan model ID.4.

 

Ford Explorer Electric 2023

 

Apabila dipasarkan kelak, pengguna di Eropah mempunyai dua pilihan iaitu Mustang Mach-E dan Explorer yang mana kedua-duanya tampil dengan gaya berbeza.

Ford belum mendedahkan butiran seperti dimensi dan rangkaian kuasa kecuali maklumat seperti konsol tengah dengan kapasiti 17 liter dan ruang bagasi 450 liter.

Papan pemuka direka kemas dengan skrin 14.6 inci yang boleh digeser ke atas dan bawah. Turut dilengkapi dua ruang pengecasan telefon pintar tanpa wayar.

Ciri lain ialah kerusi dan stereng dengan pemanas, fungsi urutan (kerusi pemandu), kawalan suhu untuk pemandu dan penumpang depan dan pintu but bebas tangan.

 

Ford Explorer Electric 2023

 

Ford memaklumkan pemilik Explorer mempunyai akses kepada 21 ribu tempat pengecasan di UK dan melonjak kepada lebih 500,000 menjelang 2024 di 25 buah negara di Eropah.

Menggunakan pengecas pantas, masa untuk menambah tenaga elektrik dari 10 hingga 80 peratus hanya memerlukan 25 minit.

Teknologi bantuan pemanduan pula terdiri daripada Bantuan Penukaran Lorong dan Bantuan Keluar Selamat (Clear Exit Assist).

Explorer elektrik adalah model EV pertama Ford yang dikeluarkan secara massa di Kampus EV Ford Cologne di Jerman.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Ford Explorer Electric 2023