Ford F-150 Raptor 2021 - casis dipertingkat, ciri pemanduan pedal tunggal untuk off-road!

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada model Raptor generasi baharu, Ford F-150 Raptor 2021 yang diinspirasikan daripada model super trak Ford Baja dengan membawakan keupayaan off-road yang telah dipertingkatkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kita mulakan dengan perubahan besar yang dibawakan oleh Ford F-150 Raptor 2021 di mana trak pikap itu kini duduk kemas di atas kerangka ladder frame keluli yang telah diperkukuh pada beberapa tempat, seperti contoh pendakap trailing arm, pendakap penyerap hentak belakang, dan pendakap gegelung spring.

Selain daripada itu, sistem suspensi belakang telah diberikan tetapan five-link yang spesifik untuk model Raptor bagi memberikan kawalan yang lebih baik terutama ketika menjelajah laluan sukar pada kelajuan tinggi.

 


Sistem suspensi five-link belakang itu datang dengan trailing arms yang panjang untuk mengekalkan posisi gandar yang lebih baik, rod Panhard dan spring gegelung bersaiz 24 inci - yang terbesar di dalam kelasnya.

Secara keseluruhan, sistem baharu ini membenarkan jarak pergerakan suspensi 381 mm di belakang, dan 355 mm di bahagian hadapan.

Pakar suspensi off-road Fox turut membekalkan peredam yang boleh dikawal secara elektronik (Fox Live Valve) dan kebolehlarasan redaman peka kedudukan, di mana menurut Ford adalah yang terbesar pernah dipasang pada sebuah Raptor.

Unit peredam itu terdiri daripada badan aluminium anodiza berdiameter 3.1 inci yang diisi dengan bendalir geseran rendah yang direka untuk menawarkan kadar keselesaan yang lebih baik di atas jalan mahupun di laluan off-road.

Menurut Ford lagi, sistem baharu ini mampu membenarkan redaman sehingga 454 kg untuk setiap sudut pada kelajuan di atas padang pasir, selain bantuan penderia yang mampu mengubah tetapan suspensi 500 kali setiap saat.

 


Dari segi luaran, Ford F-150 Raptor 2021 terus membawakan tema agresif ala jet pejuang daripada generasi terdahulu, seperti gril hadapan berwarna hitam, power dome hood yang menempatkan unit heat extractor, serta unit lampu belakang digelapkan.

Untuk ketahanan, kedua-dua bampar depan dan belakang diperbuat daripada keluli, di mana bampar belakang direka khusus untuk membenarkan kelegaan tanah yang tinggi sebelum diakhiri dengan tip ekzos berkembar.

Bagi mereka yang mahukan lampu tambahan, Ford turut menawarkan opsyen lampu off-road daripada Rigid yang boleh dipasang pada bampar hadapan.

 


Menurut Ford, nadi yang dimuatkan pada Ford F-150 Raptor ini masih lagi unit yang 'sama' pada model generasi terdahulu, iaitu enjin 3.5 liter Ecooboost bentangan V6 dan turbo berkembar yang menghasilkan 450 kuasa kuda dan 691 Nm, serta sistem transmisi automatik 10 nisbah kelajuan.

Namun apa yang baharu pada nadi ini adalah nisbah mampatan 10.5:1, kehadiran unit pengecas turbo yang canggih, dan kipas berkuasa tinggi untuk sistem penyejukan yang lebih efisien.

Sistem ekzos aktif trak pikap ini didatangkan dengan sistem paip X yang membolehkan enjin V6 ini menyalurkan runut bunyi yang lebih bertenaga terutama di dalam mod pemanduan Sport dan Baja.

 


Selain daripada itu, Ford F-150 Raptor 2021 kini menawarkan pelbagai jenis teknologi moden untuk memudahkan pemanduan off-road, seperti sistem pengurusan laluan (Terrain Mangement System) dengan tujuh mod (Slippery, Tow/Haul, Sport, Normal, Road, Baja dan Rock Crawl).

Sistem ini akan menetapkan beberapa perkara seperti respons stereng, kelakuan tranfer case, kawalan kestabilan, injap aktif ekzos, sistem peredam aktif, pemetaan pendikit dan transmisi bergantung kepada mod yang dipilih.

Terdapat juga sistem pemanduan satu pedal untuk laluan off-road yang dinamakan sebagai Trail 1-Pedal Drive yang menggandingkan operasi pendikit dan brek dengan hanya menggunakan pedal pendikit sahaja, dan dibantu dengan ciri Trail Control - seakan kawalan cruise untuk laluan off-road - serta opsyen kamera 360 darjah.

 


Buat pertama kalinya, Ford akan menawarkan trak pikap F-150 Raptor 2021 dengan padanan saiz tayar 35 inci atau 37 inci, saiz terbesar yang pernah dimuatkan untuk sebuah trak pikap saiz penuh kegunaan ringan.

Dengan tayar bersaiz 37 inci, ia menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 333 mm, serta sudut approach, departure dan breakover masing-masing 33.1, 24.9 dan 24.4 darjah.

Manakala penggunaan tayar yang lebih kecil akan membenarkan jarak pergerakan tayar yang lebih baik.

Menurut Ford, tangki bahan api sebesar 136 liter itu membolehkan trak pikap ini bergerak sejauh kira-kira 805 km, dengan keupayaan membawa muatan sehingga 636 kg dan keupayaan menunda 3,722 kg.

 


Antara kelengkapan yang dimuatkan dalam ruang kabin adalah skrin digital 12 inci, skrin paparan infotainmen 12 inci dengan sistem operasi SYNC 4 yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar, sistem audio Bang & Olufsen.

Membezakan antara Raptor dengan F-150 standard adalah kehadiran roda stereng denga jahitan merah, paddle shifter aluminium, tempat duduk dengan bolster sisi yang lebih besar, serta trim aluminium sebagai ciri standard atau trim gentian karbon yang ditawarkan sebagai opsyen.

Bagi mereka yang mahukan pakej yang lebih berkuasa, Ford juga akan menawarkan Ford F-150 Raptor R dengan nadi V8 Predator yang diperoleh daripada Ford Mustang Shelby 760 kuasa kuda itu, sebagai jawapan balas kepada model RAM 1500 TRX yang berkuasa 702 hp itu.