Kemaskini pertengahan kitaran ini membawakan perubahan dari segi kosmetik, di mana ia didatangkan dengan rekaan bampar baharu dengan gril yang lebih besar, rekaan unit lampu utama LED diperbaharui serta opsyen lampu Matrix LED yang menampilkan ciri suluhan tinggi tanpa silau.

Ford juga turut menawarkan sehingga tujuh rekaan rim aloi baharu yang boleh didapati dalam saiz 17 dan 18 inci, serta dua warna baharu iaitu Boundless Blue dan Beautiful Berry.
Sementara unit lampu belakang diberikan kemasan sekeliling seakan efek asap (smoked).

Ruang kabin Fiesta menempatkan skrin kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci yang mampu bertukar warna bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih (Normal, Sport, Eco), serta tambahan dua mod Trail dan Slippery untuk varian Active dan mod Track untuk model ST.
Di bahagian tengah menempatkan skrin infotainmen SYNC 3 bersaiz lapan inci yang menyokong navigasi trafik secara langsung, arahan suara, sokongan Apple CarPlay/Android Auto.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah amaran kehadiran penumpang belakang, sistem bunyi keliling B&O dengan 10 pembesar suara, subwoofer dan Digital Signal Processing Amplifier berkuasa 575 watt.

Selain daripada ciri ADAS seperti kawalan jelajah adaptif dengan fungsi mula/berhenti, sistem informasi titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, bantuan pengekalan laluan, Active Park Assist dan pengecaman papan tanda kelajuan, Ford Fiesta juga turut didatangkan dengan ciri amaran lawan arus di mana ia akan memberikan peringatan berbentuk bunyi dan visual kepada pemandu.
Terdapa pilihan enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter EcoBoost yang menghasilkan 99 hp.
Fiesta juga boleh didapati dengan trenkuasa hibrid yang terdiri daripada enjin 1.0 liter EcoBoost Hybrid dengan ciri belt-driven integrated starter/generator (BISG) yang mampu menjana 123 hp atau 153 hp.
Ford Fiesta ST

Versi Fiesta yang lebih berkuasa didatangkan dengan enjin 1.5 liter EcoBoost yang diperoleh daripada Puma ST, menghasilkan 197 hp dan 320 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan, sistem pacuan roda depan dan LSF mekanikal Quaife yang didatangkan sebagai opsyen.
Pecutan 0-100 km/j hanyalah sekitar 6.5 saat.
Antara ciri tersendiri pada Fiesta ST termasuklah mod Track yang mampu mematikan kawalan cengkaman untuk pemanduan dalam litar, serta sistem suspensi yang spesifik dibangunkan oleh Ford Performance.

Selain daripada penampilan yang sporti, Ford Fiesta ST turut mendapat tip ekzos berkembar dengan diffuser, rim bersaiz 17 inci (18 inci sebagai opsyen), serta warna baharu Mean Green.
Ruang kabin dikemaskan dengan tempat duduk Performance Seats boleh laras 14 cara, trim Sensico yang premium dengan jahitan kontras merah, roda stereng bawah rata, serta efek karbon pada bahagian papan pemuka.
Ford Fiesta Van

Khusus untuk perniagaan kecil, Ford menawarkan Fiesta Van - sebuah hatchback tiga pintu dengan dua tempat duduk, dan mampu menawarkan ruang kargo sebesar 960 liter.
Fiesta Van ditawarkan dalam dua trim iaitu Trend dan Sport di mana setiap satu menampilkan rekaan trim dan rim yang berbeza, bermula dari 15 inci standard sehinggalah kepada rim opsyen 18 inci.
Memahami kehendak pelanggan yang pelbagai, Fiesta Van juga boleh dilengkapkan dengan suspensi sport yang mampu merendahkan kereta.

Disebabkan ketiadaan tempat duduk baris kedua, Fiesta Van mampu memuatkan barang sepanjang 1,283 mm dengan kapasiti maksimum muatan sehingga 531 kg.