Pada perlumbaan 24 Jam Le Mans 1966 Ford diwakili beberapa pasukan di antaranya Shelby American dan dipandu oleh Bruce McLaren, Chris Amon, Ken Miles dan Denny Hulme.
Pasukan dan empat pelumba itu berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua.
Siapa pula di tempat ketiga? Sebuah lagi pasukan dengan GT40 MkII iaitu Holman Moody yang dipandu oleh Ronnie Bucknum dan Dick Hutcherson.
Kini tiba masanya Holman Moody mendapat tempat dalam Heritage Edition seperti Ford GT ’66 Heritage Edition dan Ford GT Alan Mann Heritage Edition.
Sebagai rujukan misi Le Mans memang sukar, selepas gagal pada 1965 Ford dan Shelby American kembali dan misi hanya satu iaitu menang Le Mans 1966!
Percubaan kedua itu menyaksikan Holman Moody menyertai Ford.
Kereta GT40 MK II dirombak semula dan dipandu lebih 256 pusingan dalam tempoh lebih lapan hari pada Januari 1966.
GT40 dengan nombor casis P/1016 dijadikan makmal dan beberapa bahagian dirombak semula seperti brek, suspensi dan tetapan tayar untuk menjadi lebih kompetitif.
Kotak gear pun mereka cuba dengan menggunakan transmisi automatik!
Untuk edisi istimewa GT Holman Moody Edition, model ini guna skema warna khas emas dan merah dengan logo bulat signatur Oxford White dan angka lima pada pintu, hud dan sayap belakang.
Ciri itu sama seperti Ford GT40 1966 Holman Moody semasa perlumbaan.
Lagi ciri menarik ialah komponen gentian karbon terdedah yang berkilat seperti roda 20 inci, splitter depan, sill sisi, kekisi enjin dan diffuser belakang.
Angkup brek Brembo® berwarna hitam dengan riasan perak dan roda diikat nut hitam.
Gentian karbon diteruskan pada bahagian dalam seperti sill pintu dan konsol dan logo nombor lima ditayangkan pada panel pintu.
Kerusi gentian karbon dibalut Alcantara® ebony (gelap) dengan sulaman emas dan logo GT di penyandar kepala.
Bahagian panel meter dibalut kulit hitam dan Alcantara ebony yang sama juga untuk tiang dan pelapik bumbung.
Riasan emas turut diguna pada panel meter manakala stereng dikemaskan dengan Alcantara ebony dan sulaman hitam.
Paddle shifter pula dibuat sepadan dengan warna luar iaitu Holman Moody Gold.
Unit khas Ford GT Holman Moody Edition ini dipertontonkan di Pameran Kenderaan Antarabangsa New York 2022 bersama-sama Ford GT40 MK II dengan nombor casis P/1016.
Berapa buah Ford GT Holman Moody Edition ditawarkan? Belum didedahkan dan katanya dalam unit yang sangat terhad.
Pengeluaran Ford GT akan ditamatkan pada Disember 2022 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,350 unit sahaja.
Penulis: Muhammad Md Tajudin