Dari segi rupa paras, Transit Custom membawakan persamaan rekaan dengan model e-Transit Custom.
Namun, rekaan jeriji hadapan telah diubah dengan menampilkan bukaan untuk tujuan penyejukan enjin, serta liang kemasukan sisi untuk model berenjin sahaja.

Untuk pasaran Eropah, terdapat enam trim yang boleh dipilih seperti Base, Trend, Limited, Active, Trail dan juga Sport, dua pilihan dimensi panjang dan tinggi, serta tidak ketinggalan beberapa rekaan badan termasuklah van panel standard, double-cab-in-van, kombi dan juga L-shaped bulkhead.
Untuk versi plug-in hybrid dan EV, terdapat slot pengecasan yang boleh diakses pada bahagian bampar depan.

Antara kelengkapan pada ruang kabin yang boleh dilihat termasuklah skrin infotainmen SYNC4 bersaiz 13 inci, butang pintas sensitif sentuhan, roda stereng bawah rata dengan butang fungsi bercahaya, serta kelengkapan perisian penting seperti Ford Pro, Ford Pro Upfit Integration System dan juga Ford Pro Mobile Service.
Seperti yang dinyatakan, Ford Transit Custom boleh didapati dengan pilihan trenkuasa enjin diesel EcoBlue dengan output kuasa 109 hp, 134 hp, 148 hp, atau 168 hp yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan dan LSD mekanikal (opsyen), atau transmisi automatik lapan kelajuan dengan opsyen sistem pacuan semua roda.
Kapasiti menunda maksimum untuk model automatik dengan sistem pacuan AWD pula adalah sekitar 2,500 kg.

Transit Custom versi plug-in hybrid pula didatangkan dengan enjin petrol 2.5 liter yang digandingkan dengan motor elektrik tunggal dan pek bateri, tetapan yang sama didapati pada model Ford Kuga atau Escape PHEV.
Pek bateri 11.8 kWh itu mampu menawarkan jarak operasi sifar emisi sejauh 57 km, dan ia juga membolehkan pemilik menggunakannya untuk peralatan pertukangan menerusi sistem ProPower Onboard.

Diperkenalkan pada bulan Mei lalu, Ford kini akhirnya mengumumkan spesifikasi e-Transit, dengan motor elektrik tunggal berkuasa 214 hp dan daya kilas 415 Nm.
Pek bateri berkapasiti 74 kWh pula membolehkan jarak gerak sejauh 380 km dicapai (data WLTP).
Van komersial ringan Ford Transit Custom ini akan diproduksikan di fasiliti Ford Otosan, Turki sementara penghantaran model berkuasa diesel akan bermula pada pertengahan 2023, diikuti varian PHEV dan EV.