Ford Mustang GT3 2024, dibuat dari Mustang Dark Horse, kembali ke Le Mans

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ford Mustang GT3 2024
Ford Mustang GT3 2024
Sudah menjadi kebiasaan pengeluar kereta menawarkan beberapa varian untuk model sport mereka sebagai pilihan kepada pelanggan.

Selain model standard, pengeluar menawarkan versi lebih berkuasa dan paling popular edisi istimewa dan terhad.

Penawaran tingkat tinggi apabila pengeluar menawarkan versi GT2, GT3 dan GT4 yang khusus untuk berlumba.

Atau strategi lain ialah model edisi khas dibuat bagi memenuhi syarat homologasi sebelum kereta lumba boleh bersaing di litar.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Ford Mustang GT3 2024

 

Model terbaru yang boleh dibeli pasukan lumba ialah Ford Mustang GT3 yang diperkenalkan pada majlis ulang tahun ke-100 perlumbaan 24 Jam Le Mans.

Mustang GT3 dibangunkan dari Mustang Dark Horse 2024 dan akan bersaing di dalam edisi 24 Jam Le Mans tahun depan.

Mustang GT3 tampil menyerlah dengan grafik dari Troy Lee. Kali terakhir Ford bersaing di dalam 24 Jam Le Mans ialah pada 2016 menggunakan Ford GT.

Satu lagi sejarah semestinya kemenangan pertama Ford pada 1966 dan berterusan hingga 1969.

 

Ford Mustang GT3 2024

 

Selain model lumba, Ford turut memperkenalkan logo baharu Ford Performance yang lebih ringkas dan akan terpampang pada semua model perlumbaan mereka.

Dari segi teknikal, Mustang GT3 dibekalkan enjin 5.4 liter V8 Coyote yang dibangunkan Ford Performance dan dipasang M-Sport.

Multimatic yang mengeluarkan Ford GT dan terlibat dalam program perlumbaan kereta super itu akan turut sama mengeluarkan Mustang GT3.

Kedua-dua firma adalah rakan kerjasama Ford sejak sekian lama.

 

Ford Mustang GT3 2024

 

Ford tidak mendedahkan perincian kuasa dan sebagainya namun kereta GT3 mempunyai kuasa kuda (hp) di antara 500 hp hingga 600 hp.

Berat kereta di antara 1,200 kg hingga 1,300 kg dan dilengkapi kawalan cengkaman, ABS dan jek udara.

Ford bagaimanapun berkongsi tentang suspensi lengan pendek-panjang buatan khas, kotak gear transgandar di belakang dan panel badan gentian karbon.

 

Ford Mustang GT3 2024

 

Jelas kelihatan pada Mustang GT3 ialah kit aerodinamik sekeliling badan dan spoiler besar di belakang.

Sebelum Le Mans 2024, Mustang GT3 akan digunakan oleh pasukan pelanggan untuk bersaing di pelbagai siri perlumbaan GT3 di serata dunia.

Pasukan pertama ialah Proton Competition dari Ehingen, Jerman yang menggunakan dua buah Mustang GT3 di dalam perlumbaan FIA World Endurance Championship bermula 2024.

 

Ford Mustang GT3 2024

 

Ford Performance juga akan menghantar dua buah jentera di dalam kelas GTD Pro IMSA. 

Penyertaan itu diuruskan oleh Multimatic Motorsports dan akan bermula pada perlumbaan Rolex 24 2024 di Daytona.

Kelibat Mustang GT3 mungkin boleh dilihat di Litar Antarabangsa Sepang jika ada pasukan lumba yang memilikinya kelak.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Ford Mustang GT3 2024