Ford Ranger PHEV 2025 - nadi EcoBoost 2.3 liter, jarak gerak sifar emisi 45 km

oleh Mohamad Hanif|
Ford Ranger merupakan antara trak pikap saiz pertengahan yang kian mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sana sini, boleh dikatakan banyak kelibat trak pikap Ranger termasuklah Ranger Raptor V6 yang sangat mahal itu.

Selari dengan perkembangan semasa, Ford memperkemaskan penawaran keluarga trak pikap Ranger dengan memperkenalkan trak Ranger plug-in hybrid (PHEV) yang dijangka tiba awal tahun 2025.
 

ranger


Ford Ranger PHEV itu dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris EcoBoost 2.3 liter turbo yang dibantu dengan motor elektrik dan pek bateri yang tidak diketahui kapasitinya.

Namun begitu, Ford memberikan bayangan ia mampu menghasilkan daya kilas yang jauh lebih tinggi berbanding mana-mana Ranger, dengan jarak gerak sifar emisi melebihi 45 km.

Jarak gerak sifar emisi Ranger itu dilihat menyamai apa yang ditawarkan oleh Ford Kuga PHEV yang dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 14.4 kWh.
 

Ranger


Biarpun dengan penambahan kuasa, Ford Ranger PHEV masih lagi mengekalkan keupayaan menunda beban seberat 3,500 kg, sama seperti model Ranger standard.

Salah satu ciri penting yang wujud pada Ranger PHEV ialah sistem outlet kuasa Pro Power Onboard yang boleh diakses menerusi bed belakang dan di dalam ruang kabin.

Ciri ini membolehkan pemilik mendapatkan kuasa daripada pek bateri untuk menjana perkakasan kuasa sewaktu bekerja di tapak pembinaan, atau semasa beriadah di tapak perkhemahan.
 

Ranger


Dari segi luaran, Ford Ranger PHEV boleh dibezakan menerusi kehadiran port pengecasan pada fender belakang bersebelahan dengan corong pengisian minyak, diikuti perkataan PHEV dan rim aloi 18 inci rekaan baharu.

Produksi trak pikap Ranger PHEV ini akan bermula lewat tahun 2024, dan penghantaran pertama akan dibuat seawal tahun 2025.

Buat masa ini, Ford telah mengesahkan Ranger PHEV bakal mendarat di Eropah, Australia dan UK, diikuti dengan beberapa pasaran lain.