Troller T4 generasi terawal memakai rekaan yang sama seakan sebuah Jeep Wrangler, akan tetapi selepas didatangkan kemaskini, Troller T4 telah bertukar menggunakan platform global trak pikap Ford Ranger T6 yang dipendekkan.
Untuk versi terbaharu, Ford telah mendatangkan versi Trail dengan beberapa aksesori unik bagi meningkatkan lagi keupayaan untuk menawan laluan off-road seperti contoh penggunaan bumper off-road yang dilengkapi dengan cangkuk tunda.
Manakala pemasangan snorkel pula membantu Troller T4 ini meredah air dengan tenang.
Namun, tidak seperti Ford Ranger, Troller T4 hadir dengan gandar hadapan rigid Dana, sekaligus menawarkan 51o sudut pendekatan dan sudut pelepasan, 30o sudut breakover dan keupayaan untuk mendaki curam 45o.
Bagi memberitahu umum bahawa SUV ini memang berkeupayaan off-road, Ford telah memasang cladding pada arca roda, skirt sisi, spoiler bumbung dan kemasan tailgate berwarna kontras matte grey.
Terdapat sembilan warna luaran yang boleh dipilih termasuklah Diamond White, Arizona Red, Dakar Yellow, Mendoza Black, Frost Silver, Maresias Blue, Moscow Grey, dan Red Tuscany.
Ford Troller T4 hadir dengan penawaran enjin Duratorq lima silinder sebaris 3.2 liter yang mampu menjana 197 kuasa kuda memacu kesemua roda menerusi transmisi manual enam kelajuan dan sistem 4x4 yang didatangkan dengan electronic low range.
Untuk pasaran Brazil, harga jualan bermula dari $38,000 (RM157,340) dan bagi mereka yang tidak sabar untuk menunggu Ford Bronco terbaharu, bolehlah berhijrah ke sana dan dapatkan Troller T4 Trail ini.