Ford v. Ferrari - kisah kemenangan ikonik Ford GT40 di Le Mans mengatasi Ferrari

oleh Mohamad Hanif|
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Filem berkenaan perlumbaan jalanan, modifikasi kenderaan dan cubaan untuk menakluk dunia tidak lagi asing bagi sesetengah daripada kita yang gemarkan filem-filem aksi dari Hollywood. 

Namun, tidak banyak filem aksi berbentuk biografi berkenaan sejarah permotoran dan perlumbaan dunia sebenar, dan salah satu filem yang mengingatkan penulis kepada ini ialah Rush (2013).  

Awal minggu ini, klip video trailer Ford v. Ferrari telah pun diterbitkan secara meluas di kebanyakan media sosial, dan ia sudah semestinya mengisahkan persaingan antara kedua jenama tersebut di perlumbaan Le Mans. 

Bagi para pengikut sukan perlumbaan Le Mans 24 Hours, kemenangan ikonik jentera lumba Ford GT40 merupakan salah satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan. 
 


Awal tahun 1960-an, Henry Ford II mahu membuktikan kepada dunia bahawa syarikatnya mampu menguasai sukan permotoran dan cita-citanya besar, mahu mengalahkan Ferrari yang ketika itu merupakan kuasa besar di dalam litar. 

Jadi, kertas kerja telah pun dibuat dan Enzo Ferrari pada ketika itu juga dilihat bersetuju dengan perjanjian yang bakal ditandatangani. 

Namun, Enzo Ferrari terperasan satu butiran kecil pada kontrak - menuruf pemahamannya - akan memberikan impak yang besar terhadap syarikatnya pada masa akan datang.

Di dalam kertas tersebut, Ford akan mengambil alih divisyen perlumbaan dan automotif, dan hal ini nampaknya tidak disenangi oleh Enzo Ferrari itu sendiri menyebabkan beliau menulis frasa "tidak dapat diterima" dan mengutuk pegawai Ford. 
 


Marah akan keputusan yang dibuat oleh Enzo Ferrari, di sinilah bermulanya sejarah yang membawa kepada kisah kemenangan ikonik Ford mengatasi penguasaan Ferrari menerusi jentera lumba GT40.

Dengan pertolongan dan bantuan daripada lelaki lagenda penala Mustang, Carroll Shelby, Ford GT40 akhirnya memasuki perlumbaan Le Mans 1966 dan berjaya mengalahkan Ferrari selama empat tahun berturut-turut. 

Filem Ford v. Ferrari ini akan menemui para peminat di pawagam bermula 15 November ini menampilkan Christian Bale sebagai Ken Miles, Matt Damon (Carroll Shelby), Tracy Letts (Henry Ford II) dan Remo Girone (Enzo Ferrari).