Gagal bayar bank, 1,200 kenderaan ditarik setiap bulan!

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Dianggarkan sebanyak 1,200 kereta dan motosikal ditarik di seluruh negara setiap bulan selepas pembeli yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda gagal menjelaskan bayaran kepada pihak bank.

Daripada jumlah itu, hanya 40 peminjam sahaja yang berjaya medapatkan semula kenderaan mereka, manakala selebihnya gagal kerana tidak dapat me­yakinkan pihak bank untuk me­lanjutkan tempoh bayaran.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Antara punca kenderaan ditarik adalah tiada pekerjaan, diberhentikan kerja dan ditimpa musibah termasuk sakit.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), ­Rosland Mohd. Arif berkata, berdasarkan aduan di­terima, jumlah kenderaan ditarik meningkat sejak tahun lalu.

“Setiap hari secara purata pihak kami menerima 30 hingga 40 panggilan daripada orang ramai yang mengadu kereta dan motosikal mereka ditarik.

“Dalam kes terbaharu, pemilik Perodua Axia mengadu kereta­nya yang menjadi tempat berte­duh ditarik kerana tidak menjelaskan ansuran bulanan. Dia yang bekerja di Kuala Lumpur dan berasal dari Terengganu terpaksa tinggal dalam kereta demi untuk melangsaikan hutang.

“Di 4PM, peranan kami adalah membantu melanjutkan tempoh pinjaman. Kita juga akan berun­ding meminta pihak bank untuk tidak melelong kenderaan pe­ngadu,” katanya kepada Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Rosland, dianggar 70 peratus atau 1,050 aduan yang diterima pihaknya melibatkan pemilik kereta, manakala bakinya adalah motosikal. Mereka berusia berusia 21 hingga 40 tahun.

Jelasnya, rata-rata pemilik kenderaan membuat pembayaran ansuran bulanan seperti biasa kepada bank, namun ‘terkandas’ di tengah jalan disebabkan masalah kewangan.

“Mengendalikan kes pinjaman yang sudah lama dibuat lebih mudah berbanding mereka yang baru membuat pinjaman, biasa­nya kita akan cari funder untuk menyelamatkan kenderaan itu daripada dilelong,” katanya.

Rosland bagaimanapun membantah pendekataan yang digunakan syarikat penarik kereta yang dilantik oleh bank yang dilihat mempunyai unsur gengste­rism dan tidak beretika.

“Orang kita mudah terperdaya dengan penarik kenderaan, ada satu aduan diterima mangsa takut hendak pulang ke rumah sebab dimaklumkan penarik kereta sudah menunggunya.

“Ada yang mengugut mahu menampal surat merah. Ada kes penarik kereta dakwa akan buat laporan polis dan panggil peguam sebab pemilik dikatakan sudah menipu dalam urusan jual beli kerana tidak membuat bayaran bulanan.

“Apabila diadukan perkara itu kepada polis atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, mereka (penarik kereta) tidak membuat gangguan lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia, Dr. Amina Josetta Kayani memaklumkan, pembeli yang berdepan kesukaran membayar ansuran bulanan dinasihatkan supaya menghubungi pihak bank masing-masing.

Katanya, pembeli digalakkan supaya berbincang mengenai permasalahan mereka dan bersikap jujur dengan pihak bank.

“Sebagai alternatif, pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan boleh mendapatkan khid­mat nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di bawah Program Pengurusan Hutang bagi individu atau Skim Penyelesaian Hutang Kecil untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana,” kata beliau.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kereta berwarna hitam dan hijau lumut itu didapati telah dilelong dengan harga serendah RM2,000…