Gagal memotong, suami isteri maut, tiga anak cedera dalam kemalangan

oleh Penyumbang Rencana|
foto Astro Awani
Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Batu 8, Lepar di Kuantan pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 10 malam semasa mereka dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan semasa memotong sebuah kenderaan lain sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudian bertembung dengan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa, Jamal Azizul Samat, 44, dan isterinya, Lizawati Abdullah, 41, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Manakala ketiga-tiga anak pasangan itu iaitu Nursyammie, 17, Muhammad Syamril Alif, 15, dan Muhammad Syakir Iman, 6, mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka serta perut dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Menurut Zaidi, pemandu lori berusia 31 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala dua penumpangnya yang merupakan kelindan lori hanya cedera ringan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- salam takziah kepada keluarga yang terlibat -

 

Bernama/Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dua lagi mangsa yang parah menerima rawatan di Zon Merah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (…