Kini, Hyundai cuba untuk menyelit dengan memperlihatkan gambar acah sebuah MPV serba baharu yang dinamakan sebagai Stargazer.

Berdasarkan imej-imej yang dibekalkan, Hyundai Stargazer dilihat membawakan elemen rekaan yang moden, futuristik serta mengingatkan kita kepada model Staria yang jauh lebih besar.
Ini boleh dilihat menerusi kehadiran jalur LED yang melintang penuh di bahagian depan dan belakang MPV tersebut.

Dalam satu video terbaharu, Hyundai mendedahkan susun atur di dalam ruang kabin, dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.
Namun, tempat duduk tengah menampilkan konfigurasi dua tempat duduk sahaja, memungkinkan kehadiran varian yang lebih premium dengan enam tempat duduk sahaja, selain daripada konfigurasi tujuh tempat duduk secara standard.

Susun atur papan pemuka pula menempatkan panel tunggal yang memuatkan skrin infotainmen di bahagian tengah, diikuti dengan skrin kluster instrumen di hadapan pemandu, serta tidak ketinggalan sistem pencahayaan ambien.
Hyundai Stargazer bakal didedahkan secara rasmi pada bulan depan dengan harga jualan anggaran bermula dari Rp 155,000,000 (RM46,010).