Gambar bocor: Nissan Z generasi baharu tak lari jauh dari rekaan Proto Z!

oleh Mohamad Hanif|
Ketika pengenalan buat kali pertama yang berlangsung pada September lalu, Nissan telah berjaya menarik perhatian umum menerusi model Proto Z, yang dipercayai merupakan Nissan Z generasi baharu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seperti namanya, Nissan Proto Z merupakan gambaran yang paling hampir kepada versi produksi yang sebenar, dan berita tersebut disahkan benar menerusi gambar paten yang tertiris baru-baru ini.

 


Menurut laporan daripada CarExpert, kelibat gambar-gambar paten tersebut membuktikan tiada perubahan yang ketara bakal dibawakan oleh Nissan Z versi produksi jika dibandingkan dengan model Proto Z.

Ini boleh dilihat menerusi persamaan pada rekaan bentuk lampu hadapan, gril yang besar, unit lampu belakang, serta rekaan bampar yang boleh dikatakan 100 peratus menyerupai Proto Z.

 


Berdasarkan gambar paten itu, unit ekzos juga turut didatangkan dengan tip berkembar, sementara butiran lain seperti rekaan rim dan bentuk cermin sisi tidak dijelaskan.

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan mencadangkan Nissan Z generasi baharu akan didatangkan dengan nadi yang diperoleh daripada Infiniti Red Sport, iaitu enjin V6 turbo berkembar yang mampu menghasilkan angka output 400 hp dan 474 Nm.

 


Yang pasti, transmisi manual dan tiga pedal akan tetap hadir pada Z generasi baharu, serta pengalaman pemanduan yang lebih asli tanpa sebarang bantuan elektronik seperti Direct Adaptive Steering.

Tiada sebarang petunjuk bilakah Nissan Proto Z bakal diproduksikan dan dilancarkan secara rasmi, namun ia bakal menjadi satu fenomena yang tersendiri, apatah lagi pakar seperti Smokey Nagata turut memuji kehadiran Nissan Proto Z yang 100 kali jauh lebih baik berbanding Toyota GR Supra!