Seperti yang anda lihat, penampilan GR Corolla ternyata lebih agresif biarpun membawakan bentuk badan lima pintu yang sama seperti Corolla Sports standard.
Namun, beberapa perubahan ketara boleh dilihat seperti contoh bukaan bampar yang agak berani, diikuti dengan kehadiran lampu kabus pada bahagian liang udara, bonjolan pada bonet depan, serta fender hadapan yang berliang.

Rekaan belakang GR Corolla pula jauh lebih lebar, ini kerana Toyota telah menambahkan jarak trek antara roda belakang menjadikannya penampilannya bertambah agresif.
Sistem ekzos pula menampilkan tetapan unik, dengan dua tip berbentuk bulan di bahagian kiri dan kanan, diikuti dengan sebuah lagi corong berbentuk oval di bahagian tengah.
Dari segi kuasa, GR Corolla didatangkan dengan unit trenkuasa G16E-GTS 1.6 liter (enjin tiga silinder sebaris yang sama seperti GR Yaris), namun dengan talaan sehingga 300 kuasa kuda dan 370 Nm, dipadankan dengan transmisi manual.

Sistem pacuan semua roda GR-Four adalah standard (seperti yang ditunjukkan pada bahagian skirt sisi), di mana ia boleh dikonfigurasikan kepada beberapa mod pemanduan seperti Normal (40:60), Sport (30:70) atau Track (50:50).
Pembeli boleh memilih untuk mendapatkan pakej opsyen tayar Michelin Pilot Sport 4S, serta differential Torsen depan dan belakang.
Spesifikasi pesaing terus Civic Type R dan Golf GTI ini bakal diketahui dengan lebih lanjut menjelang pelancaran rasmi pada esok hari (1 April 2022).