Gambaran artis untuk Lexus UC - sports coupe guna platform GR 86

oleh Mohamad Hanif|
Pasti ramai yang tidak sabar untuk menantikan kehadiran model baharu daripada Lexus, bukan sebuah SUV, bukan sebuah MPV akan tetapi sebuah kereta sports pacuan roda belakang.

Pakar manipulasi gambar automotif, Theophilus Chin sempat berkongsikan kepada kami gambaran kereta sports Lexus UC yang bakal menyertai Toyota GR 86 dan Subaru BRZ kelak.

 


Sebagai makluman, minggu lalu timbul ura-ura daripada Jepun yang menyatakan Lexus sedang membangunkan sebuah model coupe sports pacuan roda belakang dengan menggunakan platform GR 86.

Meskipun Lexus 'menafikan' khabar angin berkenaan pembangunan model tersebut, namun terdapat pihak ketiga yang membuktikan sebaliknya.

 


Berdasarkan laporan daripada pengguna Twitter @marin_kawasaki, terdapat kelibat model ujian yang dipercayai Lexus UC (Urban Coupe) dengan penampilan gril spindle tipikal Lexus.

Ini sekaligus menguatkan lagi berita berhubung kehadiran model baharu yang bakal dilancarkan oleh Lexus dalam masa terdekat.

Menurut laporan daripada laman web automotif Jepun Spyder7, model kembar kepada GR 86/BRZ itu dikatakan bakal menampilkan trenkuasa boxer hibrid dengan output kuasa yang lebih tinggi berbanding enjin asal 2.4 liter NA GR 86 (228 hp/249 Nm).

 


Platform GR 86 itu akan diubah suai bagi membolehkan Lexus mencapai dimensi yang lebih panjang menghampiri 4,500 mm, sebelum diberikan penampilan tipikal Lexus seperti gril spindle dan kelengkapan yang lebih mewah berbanding kembar 86/BRZ.

Sebagai perbandingan, Toyota GR 86 memiliki dimensi panjang 4,265 mm sementara model Lexus RC sedia ada pula adalah sepanjang 4,699 mm.

Dalam satu laporan yang berasingan dari Creative Trend, difahamkan pelancaran Lexus UC ini bakal berlangsung seawal musim luruh tahun ini (September 2021).

Sumber: Spyder7, Creative Trend
Sumber gambar: Theophilus Chin

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini kerana menurut laporan daripada Spyder7, Lexus juga dikatakan berminat untuk menawarkan kereta…